Polis cari lelaki bantu siasatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes cuba samun seorang wanita di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, pihaknya telah menghasilkan lakaran fotofit lelaki itu hasil siasatan yang dijalankan susulan laporan diterima daripada mangsa.
Menurutnya, laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh mangsa berusia 25 tahun pada jam 8.30 pagi hari kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya berhenti di sebuah stesen minyak di TTDI untuk mengisi angin tayar kenderaan.
“Seorang lelaki yang menaiki motosikal dipercayai menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta bagi mengambil beg tangan yang berada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai ditumbuk suspek pada bahagian tangan dan kepala.
"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa," katanya.
Menurut Hoo, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut mendapati motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

