‘Saya tak layan pujukan tandatangan SD mana-mana pihak’

Gambar kecil: Mohd Salim
Gambar kecil: Mohd Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif mendedahkan beliau tidak melayan sebarang usaha mana-mana pihak untuk memujuknya menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong sesiapa sebelum ini.

Mengakui beliau didatangi beberapa individu, sama ada daripada pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahupun pihak mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Salim menegaskan keputusan penolakan dibuat kerana usaha-usaha berkenaan adalah bersifat persendirian.

Jelasnya, beliau masih berpegang kepada ketetapan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu ‘No Anwar, No DAP’ dan sokongan kepada kerajaan PN akan diteruskan sehingga pembubaran Parlimen kelak.

“Saya akui dihubungi beberapa individu termasuk orang Anwar sendiri (untuk tandatangan SD) sebelum ini namun saya masih menganggap diri ini mewakili UMNO dan rakyat kawasan (Parlimen) saya.

“Tidak mungkin saya akan melayan sebarang usaha persendirian sebegini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Salim yang juga Ahli MKT UMNO turut menegaskan kesemua 38 ahli Parlimen UMNO sudah mempunyai hala tuju jelas untuk mempertahankan kerajaan PN ketika ini, lebih-lebih lagi negara sedang berdepan krisis Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin sekali lagi jadi sasaran fitnah

'Hanya empat ahli Parlimen UMNO sokong undi tidak percaya jika ada'

Artikel Berkaitan:

Mohd Salim turut bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk menolak sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri pada saat genting ini.

“Saya turut yakin kesemua ahli Parlimen UMNO dan BN akan mengambil keputusan bersama secara kolektif sekiranya terdapat usaha untuk tidak menstabilkan kerajaan sedia ada kerana tumpuan semua pihak sepatutnya ke arah menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” kata beliau.

Surat tular kononnya Hishammuddin memohon menghadap Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Surat tular kononnya Hishammuddin memohon menghadap Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu.