Kutipan SD sokong Hishammuddin mungkin jadi rujukan pelantikan TPM

Gerakan kutipan tandatangan SD 25 ahli Parlimen BN mungkin dijadikan rujukan bagi menentukan sama ada Hishammuddin atau Ismail Sabri dipilih sebagai TPM sekiranya diperlukan.
Gerakan kutipan tandatangan SD 25 ahli Parlimen BN mungkin dijadikan rujukan bagi menentukan sama ada Hishammuddin atau Ismail Sabri dipilih sebagai TPM sekiranya diperlukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif kutipan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menjadi jurucakap 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), mungkin dijadikan rujukan bagi pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya mengesahkan pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai usaha memberi mandat kepada Hishammuddin menjadi jurucakap mereka sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, tempoh hari.

Jelas beliau, gerakan itu buat masa ini bertujuan menolak sebarang usaha penubuhan kerajaan baharu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai sudah mendapat 'restu' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu.

"Terdahulu, kami diarahkan Presiden UMNO untuk letak jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meminta semua ahli Parlimen berjawatan dalam kerajaan tidak lagi menyokong PN.

"Bagaimanapun, semua ahli Parlimen BN yang terlibat enggan melakukannya kerana kami berpendapat kalau sekiranya UMNO dan BN tidak sokong kerajaan PN, jadi mereka mahu sokong siapa?

"Kami berpandangan Zahid sokong Anwar kerana banyak insiden menunjukkan kecenderungan beliau menyokong Anwar...bukti Zahid hantar surat ahli Parlimen BN sokong Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong tahun lalu dan bukti rakaman audio perbualan mereka tahun ini.

"Justeru, kutipan SD dibuat bagi menyatakan pendirian sebenar kami menolak penubuhan kerajaan baharu atau Anwar sebagai Perdana Menteri baharu. Namun ia juga boleh dijadikan rujukan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya diperlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin

Pada Selasa, Mohamed Nazri membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian bahawa beliau merupakan 'mastermind' dalam mengumpulkan tandatangan SD 25 ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan terhadap Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Bagaimanapun Mohamed Nazri mengakui, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Sebaliknya tegas Mohamed Nazri, mereka sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

ARTIKEL BERKAITAN:[EKSKLUSIF] Nazri Aziz 'mastermind' kumpul SD sokong Hishammuddin

Pada 9 Jun sehingga 15 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan siri perjumpaan dengan semua ketua parti politik di Istana Negara.

Tambah Zahidi, beliau turut menamakan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai antara pemimpin yang mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen BN bagi pelantikan jawatan TPM selain Hishammuddin.

Pendedahan Zahidi itu bagaimanapun diperjelaskan semula Mohamed Nazri yang menegaskan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN tidak pernah disuruh menandatangani SD menyokong mana-mana pemimpin parti itu bagi dilantik menjadi TPM setakat ini.

Sebaliknya, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu berkata, persoalan mengenai siapa bakal menjadi TPM sekiranya diperlukan Muhyiddin, hanya sekadar kefahaman sesama ahli Parlimen BN yang tidak pernah diterjemahkan dalam bentuk tandatangan SD.

Mohamed Nazri - FOTO SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamed Nazri - FOTO SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Paling penting, kutipan tandatangan SD itu dibuat bagi menjelaskan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai taktik Ahmad Zahid yang dipercayai mengguna pakai semula tandatangan sesetengah ahli Parlimen BN menyokong Anwar pada tahun lepas, bagi tujuan sama kali ini.

"Kita hendak buktikan sebarang SD membabitkan 25 ahli Parlimen BN sekiranya dikemukakan Anwar tempoh hari, sudah tidak boleh pakai dengan surat akuan amanat kepada Hishammuddin adalah lebih tepat dan terkini.

"Menjawab persoalan kutipan SD itu turut menjurus penentuan pelantikan jawatan TPM pada masa hadapan sekiranya menjadi keperluan, saya rasa yang 'sign' akaun SD itu pastinya turut bersetuju sekiranya Hishammuddin dipilih menjadi TPM,"katanya.