Dua berhala pula di Surau Sabilul Huda

Hasanah menunjukkan lokasi patung berhala yang ditemui di atas pagar pintu utama surau berkenaan, (gambar kanan) patung berhala sebesar tapak tangan ditemui di atas pagar pintu utama surau berkenaan.
Hasanah menunjukkan lokasi patung berhala yang ditemui di atas pagar pintu utama surau berkenaan, (gambar kanan) patung berhala sebesar tapak tangan ditemui di atas pagar pintu utama surau berkenaan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Penduduk Taman Pendamar Indah, di sini sekali lagi digemparkan dengan penemuan dua patung yang diletakkan di atas pagar pintu masuk utama Surau Sabilul Huda, di sini, petang tadi.

Penemuan dua patung kali kedua selepas penemuan pertama pada Rabu lalu disedari seorang kariah kira-kira jam 2.45 petang yang menghadiri kuliah agama di surau terbabit.

Suri rumah, Hasanah Ibrahim, 64, berkata, ketika menghampiri pagar surau berkenaan, dia terpandang berhala yang diletakkan di kiri dan kanan pagar berkenaan.

"Makcik bersama tiga lagi rakan berjalan kaki untuk menghadiri kuliah agama di surau ini. Tiba-tiba makcik terpandang dua objek yang diletakkan di kiri dan kanan tembok bersebelahan pagar utama surau.

"Bila saya menghampiri pagar tersebut, terdapat dua berhala sebesar tapak tangan. Memang terkejut sebab baru dua hari lepas kejadian sama berlaku di surau ini. Makcik pun tak tahu," katanya ketika ditemui di Surau Sabilul Huda, hari ini.

Menurutnya, dia yang tinggal di taman berkenaan sejak 15 tahun lalu terus memberitahu rakan-rakannya mengenai perkara itu.

"Mereka pun terkejut dan beritahu tak perasan patung itu sebab masing-masing kejar masa kerana kuliah agama berlangsung jam 3 petang," katanya.

Siak surau, Mohd Yatim Omar, 64, berkata, beliau tidak menyedari kejadian itu walaupun berada di surau berkenaan sejak 12.45 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang tak perasan ada berhala di situ masa tinggalkan surau jam 2.30 petang. Saya hanya tahu lepas diberitahu imam. Kejadian ini menjadi tanda tanya sebab hubungan penduduk di sini harmoni dan tidak pernah berlaku sebarang pergaduhan.

"Kami serahkan kepada polis untuk siasat. Saya juga berharap agar pihak surau dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan surau bagi membendung perkara sama berulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat tindakan sendiri sehingga mencetuskan pergaduhan antara kaum dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah di sini terkejut apabila menemui sebuah berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Gempar patung berhala dalam surau

ARTIKEL BERKAITAN:Kes berhala: Muhyiddin arah KPN siasat secara terperinci