Kesihatan mental rakyat makin membimbangkan

Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran.
A
A
A

TAHAP kesihatan mental rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan yang membimbangkan apabila banyak kes-kes bunuh diri semakin kerap dilaporkan di media.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak 91.2 peratus daripada lebih 100,000 panggilan diterima daripada talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Dari 1 Januari hingga 21 Mei, talian bantuan sokongan Psikososial KKM, Mercy Malaysia serta Talian Kasih dan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim telah menerima sejumlah 101,150 panggilan di mana 91.2 peratus memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Sehubungan itu, Majlis Penasihat Kesihatan Mental Negara meminta supaya KKM menambah jumlah kaunselor di kementerian dan beberapa penambahbaikan telah dilakukan.

Menurut laporan global Employment Hero pada tahun 2021 mengenai Kesan Covid-19 Terhadap Pemilik Perniagaan dan Pekerja melibatkan 1,000 majikan serta pekerja Malaysia mendapati 71 peratus pekerja Malaysia bimbang tentang kesejahteraan kewangan mereka berbanding kebimbangan terhadap kesihatan fizikal (66 peratus) dan kesihatan mental (62 peratus).

Secara keseluruhan, lebih ramai rakyat Malaysia iaitu 62 peratus prihatin terhadap kesihatan mental mereka berbanding dengan tenaga kerja di negara lain seperti Singapura (50 peratus), United Kingdom (49 peratus), New Zealand (46 peratus) dan Australia (46 peratus) yang menunjukkan tahap kebimbangan lebih rendah.

Ketidaksepadanan yang ketara antara peningkatan permintaan untuk sokongan kesihatan mental dan apa yang ditawarkan oleh majikan sekarang sukar untuk dinafikan.

Artikel Berkaitan:

Ramai majikan percaya bahawa mereka menyokong iaitu sebanyak 74 peratus kesihatan mental pekerja mereka, namun hanya 56 peratus pekerja yang setuju.

Mengenai topik pengukuran, 59 peratus majikan mengatakan mereka mempunyai alat untuk mengukur masalah kesihatan mental di tempat kerja tetapi hanya 48 peratus pekerja yang bersetuju.

Ketika pekerja Malaysia ditanya apa yang dapat dilakukan oleh majikan untuk menyokong kesihatan mental mereka, 70 peratus mengenal pasti keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat sebagai inisiatif pilihan mereka, diikuti oleh perkhidmatan kaunseling yang disediakan syarikat (57 peratus) dan peningkatan faedah kesihatan dan kesejahteraan (55 peratus).

Tinjauan itu juga mendapati lebih sedikit pekerja yang bekerja dari rumah sejak sebelum wabak Covid-19 dilaporkan mengalami tekanan iaitu 59 peratus berbanding dengan 64 peratus pekerja yang dilaporkan mengalami tekanan setelah dipaksa bekerja akibat pandemik.

Sehubungan itu, penulis ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan segala media yang ada untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Memang banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan, namun maklumat-maklumat penting seolah-olah tidak sampai kepada rakyat dan masih belum mencukupi.

Maklumat-maklumat penting itu perlu disiarkan secara kerap bagi membolehkan rakyat yang berhadapan dengan sebarang masalah dapat dibantu terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kita juga mahu supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia memainkan peranan penting dengan menyebarkan mesej-mesej positif sekerap yang boleh kepada rakyat.

Pada waktu-waktu yang sukar ini, rakyat perlu diberikan satu keyakinan bahawa kebajikan mereka akan terus terpelihara.

Dalam pada itu, kita ingin memberi ingatan kepada para majikan agar tidak mengambil sikap lepas tangan terhadap pekerja yang diberhentikan.

Majikan bertanggungjawab penuh untuk memaklumkan kepada pekerja yang diberhentikan tentang bantuan-bantuan yang boleh diperoleh daripada kerajaan.

Jika majikan didapati tidak membantu pekerja mereka yang hendak diberhentikan itu, maka adalah amat wajar sekiranya tindakan tegas diambil. Perkara itu tidak sepatutnya memberikan sebarang masalah kepada majikan kerana ia tidak melibatkan sebarang kos pun.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Berita Sinar Harian


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)