X

Kindly register in order to view this article
!

Bukti keyakinan terhadap konglomerat, ekonomi Malaysia: PM

Muhyiddin Yassin
A
A

KUALA LUMPUR - Suntikan pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, unit Sunway Bhd membuktikan keyakinan terhadap konglomerat dan juga ekonomi Malaysia selain mencerminkan rekod prestasi cemerlang sektor penjagaan kesihatan negara, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, susulan penularan pandemik Covid-19 dan kesan buruknya ke atas hidup dan kehidupan manusia di seluruh dunia, kepentingan pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh.

“Saya gembira bahawa dana pelaburan Singapura, GIC Ventures Pte Ltd, melabur sebanyak RM750 juta bagi membeli 16 peratus kepentingan dalam bahagian penjagaan kesihatan konglomerat utama Malaysia, Sunway Group,” katanya dalam ucapan yang telah dirakam terlebih dahulu bagi majlis pemeteraian pelaburan antara Sunway Bhd dan GIC (Ventures) itu pada Rabu.

Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, unit milik penuh GIC (Ventures), akan menyuntik pelaburan sebanyak RM750 juta ke dalam Sunway Healthcare menerusi pembelian 16 peratus pegangan itu dengan hasil akan digunakan bagi pengembangan hospital sedia ada dan tujuan modal kerja.

Muhyiddin berkata, pada 2019 era sebelum pandemik, negara menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan perolehan hospital sebanyak RM1.7 bilion.

Kebanyakan pengembara penjagaan kesihatan negara datang dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.

“Disokong oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta negara yang bertaraf dunia dan infrastruktur yang canggih, Malaysia turut disenaraikan di kedudukan pertama Penjagaan Kesihatan Terbaik dalam Kategori Dunia dalam indeks 2019 International Living Annual Global Retirement Index, mengatasi negara seperti Perancis dan Thailand.

“Semua ini menjadikan Malaysia mengalu-alukan dengan tangan terbuka pelaburan domestik dan juga asing dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan penjagaan kesihatan swasta negara yang mantap itu disokong oleh barisan doktor berpengalaman dan diiktiraf peringkat antarabangsa serta kakitangan perubatan terlatih yang membantu menjadikan Malaysia satu daripada destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Menurut Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 127 peratus kepada RM127.9 bilion pada 2027 daripada RM56.3 bilion pada 2017.

Pelaburan terbaharu oleh Singapura itu menunjukkan bahawa Malaysia kekal menarik kepada pelabur meskipun landskap ekonomi mencabar akibat daripada pandemik. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!