UMNO ikrar tak akan sokong undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO bersetuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang Parlimen kelak.

Persetujuan itu sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya suhu politik dapat diredakan dengan memberi tumpuan kepada pemulihan pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan secara bersama oleh semua ahli-ahli Parlimen, menteri-menteri dan timbalan menterI Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu menyebut, barisan pemimpin parti itu juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

"Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/ BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, mereka turut memberi jaminan untuk memastikan menteri dan timbalan menteri BN memberi komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutamanya yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

"Apa yang pasti keutamaan ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/ BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan selain masa hadapan negara Malaysia,"katanya.

Artikel Berkaitan:


Gesaan pembukaan semula sidang Parlimen semakin kuat berikutan titah Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat masih cuba melengah-lengahkan keperluan tersebut disifatkan kerana Muhyiddin bimbang dengan kedudukannya yang berkemungkinan akan ada usul undi tidak percaya bagi menyingkirkannya.