Gubal Enakmen Undang-undang negeri Pahang

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang perlu menggubal Enakmen Undang-undang Negeri sebagai bukti komitmen kepada kelestarian alam terutama dalam memulihara status Hutan Simpan Kekal (HSK).

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri, Fuziah Salleh berkata, laporan sebuah portal berita yang mendakwa kawasan seluas 4,600 hektar yang dirancang sebagai HSK sejak 2019 masih belum diwartakan mengejutkan banyak pihak.

"Wujud dakwaan kawasan itu telah disemak semula bagi memberi laluan kepada aktiviti perlombongan melalui kelulusan permit pajakan kepada sebuah syarikat.

"Sebagaimana yang didedahkan, kawasan lombong Lot 87978 seluas 40.51 hektar itu sudah terkeluar daripada kawasan asal yang sepatutnya diwartakan sebagai HSK," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, kawasan lombong tersebut juga dikenalpasti sebagai kawasan sensitif alam sekitar kelas dua seperti dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Keadaan ini tidak memeranjatkan kerana walaupun sesebuah kawasan diwartakan sebagai HSK, kerajaan negeri tetap boleh nyahwartakan kerana tiada enakmen negeri yang pernah digubal untuk memelihara status HSK di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, Pahang perlu mencontohi kerajaan Selangor yang telah menggubal undang-undang negeri dengan mewujudkan Enakmen Hutan Selangor 2018 (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara1985.

"Melalui enakmen itu, proses nyah warta HSK tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya malah perlu melalui proses yang ketat untuk menukar statusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjunjung kasih atas keprihatinan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah atas titah baginda supaya kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Chini yang sedia ada di perluaskan dari 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

"Baginda mahu semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir Yang Baik (ESG) supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

"Saya juga menjunjung kasih itah baginda supaya semua aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan dan kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian," katanya.

Tambah beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga telah memberi maklum balas terhadap titah itu.

"Dalam kenyataannya sebelum ini, Wan Rosdy memaklumkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan dan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

"Bagaimanapun di sebalik itu, timbul persoalan selepas dakwaan baharu itu didedahkan," katanya.