X

Kindly register in order to view this article
!

Individu mahir interaksi dengan OKU digalak sertai MyVac

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal (empat, kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi (tiga, kanan) beramah mesra dengan penerima Vaksin Covid-19 ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Menara Sime Darby Plantation hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan individu yang mempunyai kemahiran berinteraksi dengan orang kurang upaya (OKU), khususnya dalam penggunaan bahasa isyarat untuk menyertai Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini penting bagi membantu kelancaran dan proses interaksi pemberian vaksin kepada golongan itu.

“Kalau kita ada kerjasama erat dengan OKU Sentral, saya yakin KBS boleh membuka sedikit ruang untuk kita memberi elaun kepada sukarelawan MyVac yang mempunyai tanggungjawab khas untuk membantu warga OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu PPV Pandu Lalu kendalian OKU Sentral di Ara Damansara pada Selasa yang turut dihadiri Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain.

MyVac merupakan mobilisasi sukarelawan kesihatan dan bukan kesihatan untuk membantu barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima dengan menjadi pemudahcara urusan penyampaian vaksin di PPV.

Pada 19 Jun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai 80,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif MyVac di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lepas.

Sementara itu, Ras Adiba yang juga Pengerusi Bernama menyambut baik saranan berkenaan dan berkata bahawa golongan OKU perlu disantuni dengan cara yang betul.

“Apabila kita melakukan sesuatu untuk OKU kita kena tahu bagaimana menyantuni mereka dan apa kita buat untuk OKU, ‘there is nothing about us without us’, kita tidak boleh buat benda untuk OKU tapi dalam pasukan kita orang bukan OKU, mesti ada seorang dua (OKU), kalau tidak you wouldn’t know (anda tidak akan tahu),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ras Adiba berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan KBS bagi mewujudkan sebuah lagi PPV Pandu Lalu untuk OKU dalam usaha mempercepat proses vaksinasi golongan itu, memandangkan kapasiti terhad di PPV sedia ada.

PPV Pandu Lalu kendalian OKU Sentral itu memulakan program vaksinasinya pada 18 Jun dengan 80 suntikan sehari sebelum meningkatkan kapasiti kepada 160 hingga 200 suntikan sehari mulai semalam dan seterusnya bagi tempoh lima bulan akan datang.

Pelaksanaan vaksinasi di pusat itu ketika ini adalah berdasarkan pendaftaran yang diterima oleh OKU Sentral, yang menyaksikan sejumlah 13,500 OKU akan menerima janji temu masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!