Sidang Parlimen: UMNO Selangor sokong desakan Ahmad Zahid

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula Isnin.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO Selangor terdiri daripada 21 bahagian dan ketua sayap parti menggesa Parlimen bersidang untuk membahaskan isu-isu semasa seperti ordinan darurat dan pelan pemulihan negara.

Menurutnya, isu keperluan notis 28 hari ditimbulkan oleh sesetengah pihak tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bersidang kerana Yang di-Pertua Dewan mempunyai kuasa untuk mengetepikan syarat tersebut di dalam keadaan memaksa.

“Dalam Peraturan 9(2)(a) menyatakan sekurang-kurangnya (notis) 28 hari sebelum memulakan mesyuarat setiap penggal Parlimen, (diberikan) kepada ahli-ahli (Parlimen) memberitahu tarikh Majlis Mesyuarat bagi penggal itu.

“Ia perlu dibaca hingga habis di mana dinyatakan dengan syarat bahawa dalam keadaan memaksa yang ditentukan Tuan Yang Dipertua, pemberitahuan tersebut boleh diketepikan.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang mana Setiausaha Dewan hendaklah memanggil Persidangan Dewan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya bukan satu penghalang untuk dewan bersidang dalam tempoh (notis) 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menegaskan, pihaknya akan menolak sebarang usul undi tidak percaya jika diusulkan pada sidang Parlimen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya ulangi sekali lagi sebagai Ahli Parlimen tunggal Barisan Nasional (BN) dari Selangor, saya tidak akan bersetuju jika ada usul undi tidak percaya dikemukakan semasa Parlimen ini bersidang," katanya.

Dalam kenyataan Ahmad Zahid pada Isnin memaklumkan, UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, bermula Isnin.

Ahmad Zahid berkata, ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021, dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Ia selepas baginda memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar daripada pelbagai agensi kerajaan.

Raja-Raja Melayu turut menyokong dan senada dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, selain berpendirian Dewan Undangan Negeri (DUN) juga dibolehkan bersidang secepat mungkin.