Himpunan perlu berlaku aman, tidak cetus provokasi- AMK

SHAH ALAM - Setiap perhimpunan yang dianjurkan harus dilaksanakan secara aman dan tidak mencetuskan sebarang bentuk provokasi, khususnya yang menyentuh atau menghina kepercayaan serta agama mana-mana kaum di Malaysia.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendirian pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam perkara ini tidak bersandarkan sentimen perkauman mahupun keagamaan.
Menurut beliau, sebaliknya ia berpaksikan prinsip Rukun Negara khususnya kedaulatan undang-undang.
"Undang-undang negara menuntut setiap pihak menghormati peraturan serta proses perundangan yang berkuat kuasa.

"Sehubungan itu, AMK berpandangan bahawa semua rumah ibadat harus berlandaskan undang-undang terutama soal hak milik tanah yang sah sepertimana hak untuk beragama dijamin dalam perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth mengesahkan bahawa polis telah dimaklumkan tentang Himpunan Anti Rumah Anutan Haram seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebanyak 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pukul 8 malam berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada esok bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan.
Tambah Muhammad Kamil, AMK menghormati hak mana-mana pihak untuk berhimpun selaras dengan prinsip demokrasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam masa sama, AMK menaruh keyakinan penuh terhadap jaminan pihak berkuasa untuk menangani isu ini secara berhemah dan menurut prinsip rule of law, tanpa tindakan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum serta kestabilan masyarakat majmuk negara," ujarnya.
Ringkasan AI
- Setiap perhimpunan yang dianjurkan harus dilaksanakan secara aman dan tanpa provokasi terhadap agama atau kepercayaan
- Pendirian pemuda Parti Keadilan Rakyat tidak bersandarkan sentimen perkauman atau keagamaan, tetapi berpaksikan prinsip Rukun Negara
- Undang-undang negara menuntut penghormatan terhadap proses perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa
- AMK berpandangan bahawa hak milik tanah dan hak beragama yang dijamin dalam perlembagaan harus dihormati
- AMK menghormati hak untuk berhimpun selaras dengan prinsip demokrasi dan memiliki keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk menangani isu secara berhemah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


