X

Kindly register in order to view this article
!

'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

"Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Pada Rabu minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu minggu lalu.

Ia adalah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO menyokong penuh dua kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Menurut beliau, sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah (Melayu)," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!