Wakil rakyat, Senator temui Muhyiddin Ahad ini

IPOH - Semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan menerima undangan menghadiri pertemuan bersama Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin antara yang menerima undangan tersebut berkata, jemputan berkenaan dibuat melalui surat rasmi diedarkan secara peribadi dan pertemuan tersebut dijadual berlangsung di kediaman Muhyiddin.
"Saya rasa semua Ahli Parlimen, ADUN dan Senator dari Bersatu dapat cuma pemimpin di peringkat bahagian saya rasa tak terima kecuali mereka wakil rakyat.
"Pertemuan Ahad ini untuk apa saya tak pasti sebab tak dinyatakan," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini beberapa Ketua Bersatu Bahagian mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Muhyiddin dengan gesaan agar pemimpin nombor satu Bersatu itu melepaskan jawatan.
Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin secara terbuka menggesa Tan Sri Muhyiddin Yasin melepaskan jawatannya dalam parti dengan peranannya dipangku Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam masa sama, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz membidas Yunus dengan mencadangkan agar Hamzah yang sepatutnya melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti.
Ringkasan AI
- Semua Ahli Parlimen, ADUN dan Senator Bersatu dijemput hadiri pertemuan dengan Muhyiddin Yassin
- Datuk Zainol Fadzi Paharudin antara yang terima jemputan untuk pertemuan di rumah Muhyiddin
- Tidak semua pemimpin di peringkat bahagian dapat jemputan, hanya wakil rakyat
- Tujuan pertemuan tidak dinyatakan secara jelas
- Beberapa Ketua Bersatu Bahagian dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah mengkritik dan menggesa Muhyiddin melepaskan jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


