Hannah gesa DBKL tangguh pembinaan pangsapuri

Hantaran Hannah Yeoh di Facebook pada Ahad.
Hantaran Hannah Yeoh di Facebook pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menangguhkan pembangunan dua blok pangsapuri Residensi Wilayah di atas Lot 2562, Segambut, Batu di sini membabitkan 810 kediaman sehingga tempoh Sekatan Pergerakan Penuh tamat.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pemilik tanah di kawasan sekitar Residensi Wilayah itu sukar untuk memberi cadangan dan maklum balas mengenai pembinaan pangsapuri tersebut berikutan pengurangan waktu perkhidmatan di pejabat kerajaan sepanjang tempoh sekatan.

Menurutnya, banyak janji temu untuk pelbagai urusan di kaunter ditangguhkan tetapi kerajaan pula membenarkan proses bagi mendapat maklum balas orang awam untuk sebuah pembangunan yang begitu besar ketika rakyat diarahkan duduk di rumah.

“Tindakan seperti yang didakwa ini dijalankan ketika penduduk dihalang pergerakan mereka semasa PKP untuk menyatakan pandangan seolah-olah tidak menghormati pembayar cukai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Hannah turut membangkitkan perkara tersebut melalui Twitter kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengenai tempoh masa proses pengumpulan cadangan daripada pemilik tanah sekitar sini dijalankan.

Ujarnya, pihak DBKL memberikan maklum balas dengan menyatakan mereka menaikkan dua iklan dalam akhbar tempatan pada 6 hingga 8 Jun 2021 dan mereka memasang papan tanda di tapak cadangan pembinaan untuk memohon pemilik tanah di sekitarnya menyatakan pandangan sebelum 21 Jun 2021.

“Dalam kenyataan media mereka, DBKL juga gagal menyatakan nama pemohon cadangan pembangunan tersebut walaupun Kementerian Wilayah giat mempromosikan Residensi Wilayah di laman sesawang mereka.

“Penduduk begitu risau melihatkan perubahan yang ketara di kawasan kejiranan mereka sedangkan tidak ada penyelesaian daripada DBKL berkenaan isu lalu lintas dan kesesakan jalan raya di sana.

Artikel Berkaitan:

“Untuk mendapatkan penglibatan penduduk dengan lebih berkesan, kepercayaan, maklumat yang mencukupi dan peluang yang adil untuk mereka memberikan maklum balas adalah syarat paling asas untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan libat urus dengan penduduk.

“DBKL tidak boleh membuat keputusan secara tiba-tiba begini,” katanya.