X

Kindly register in order to view this article
!

KPM diminta selesai dahulu isu penempatan guru

Tangkap layar hantaran di Facebook Ahmad Fadhli pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta terlebih dahulu menyelesaikan isu penempatan guru sebelum melaksanakan pengambilan khas guru baharu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau telah menyentuh mengenai isu berkenaan di Parlimen sejak daripada pentadbiran sebelum ini lagi, namun ia dilihat masih belum dapat diselesaikan secara tuntas.

“Apa kata, kita selesaikan penempatan ini terlebih dahulu barulah kita menerima kemasukan belasan ribu guru baru?

“Sistem pengurusan guru (e-GTukar) saban tahun tetap juga menerima aduan yang tidak menyenangkan.

“Ya, untuk memuaskan hati semua pihak satu perkara yang mustahil, tapi mengurangkan sehingga ke tahap minimum saya fikir satu perkara yang boleh dicapai oleh KPM,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin ketika mengulas mengenai isu pengambilan khas guru yang bakal dilakukan kerajaan.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan KPM bakal membuat pengambilan khas secara 'one-off' melibatkan sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41 yang turut dibuka kepada graduan bukan bidang pendidikan.

Mohd Radzi berkata, langkah tersebut bertujuan menampung kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor selain usaha mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, tindakan KPM melakukan pengambilan khas guru baharu adalah suatu langkah berani kerana melibatkan liabiliti kewangan yang besar.

Pada masa sama, beliau berpandangan ia memberi peluang kepada graduan siswazah yang menganggur untuk memasuki alam pekerjaan sekaligus menyelesaikan masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh pihak kementerian.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!