1 juta isi rumah M40 berpotensi jatuh ke B40

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 1 juta isi rumah yang berpendapatan sederhana (M40) berpotensi menjadi golongan berpendapatan rendah (B40) sekiranya situasi pandemik negara masih pada tahap sama sehingga berakhir suku ketiga tahun ini.

Pakar ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, apabila pemulihan sukar dicapai, sudah tentu ada pertambahan pada bilangan isi rumah B40 yang dahulunya golongan M40.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 2.9 juta isi rumah M40 di negara ini dengan isi rumah berpendapatan antara RM4,851 sehingga RM7,100 merupakan kumpulan yang berpotensi berdepan penurunan tahap pendapatan isi rumah.

“Kecuali, jika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dapat diadakan seawal suku ketiga tahun ini.

“Jika berakhir suku ketiga kita masih begini, saya jangka 35 peratus iaitu 1 juta isi rumah M40 akan menjadi B40.

“Lebih-lebih lagi bilangan M40 paling tinggi dalam kalangan pekerja swasta terletak di negeri yang memiliki rekod positif Covid-19 tertinggi (pelaksanaan PKP berkemungkinan besar dilanjutkan) seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas laporan penurunan tahap pendapatan iaitu lebih daripada 600,000 isi rumah golongan M40 telah tergelincir ke dalam kategori B40 kerana krisis Covid-19.

Angka tersebut, menurut Sekreteriat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan untuk tahun 2019, sekurang-kurangnya lapan peratus isi rumah memperlihatkan penurunan pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, jumlah isi rumah M40 bukan hanya berpotensi menjadi golongan B40 bahkan berpotensi jatuh ke dalam kategori B50 mahupun B60.

Katanya, keadaan itu tidak mustahil jika tiada perancangan konkrit untuk memulihkan ekonomi negara melihat kepada jumlah pengangguran yang masih tinggi.

“Saya jangka angka meningkat tetapi tak dapat diberi anggaran.

“Mungkin bukan lagi menjadi B40 tetapi B50 atau B60 kerana majoriti pendapatan mereka kurang RM4,850 sebulan,” katanya.

Ahmed Razman menambah, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan jurang kemiskinan tidak melebar dan menjadi golongan yang perlukan bantuan.

“Kita jangka jika tidak ada pelan pemulihan yang konkrit kita akan lihat kadar pengangguran kembali meningkat mungkin sehingga 900,000. Selain itu, jumlah tenaga kerja terutamanya yang bekerja sendiri juga akan meningkat.

“Mungkin juga akan berlaku peningkatan bilangan rumah dan kereta dilelong serta pajak gadai akan mencatatkan jumlah pajakan yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pelan Pemulihan Negara sepatutnya mengambil kira Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan juga Belanjawan 2022 kerana membabitkan peruntukan yang boleh diselaraskan bersama.