X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan ternakan untuk hari raya korban cukup

Che Abdullah memeriksa keadaan daging semasa mengadakan lawatan ke Pusat Abatoir JPV Kelantan di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa pada Sabtu.
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ternakan untuk tujuan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha mencukupi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) terdapat 43,842 ekor lembu dan kerbau untuk tujuan berkenaan.

"Selain kedua-dua haiwan ruminan itu, kita turut mempunyai stok kambing dan biri-biri sebanyak 33,173 ekor untuk umat Islam di negara ini melaksanakan ibadah berkenaan," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Abatoir JPV Kelantan di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai isu wabak penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang sedang menyerang ternakan ruminan, Che Abdullah berkata, setakat ini hanya lima kes positif dikesan di seluruh negara.

"Kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah dalam membendung penularan LSD di negara ini.

"Orang ramai tidak perlu takut dan kerajaan memberi jaminan haiwan yang akan disembelih untuk ibadah korban dijamin bebas daripada LSD," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memperketatkan kawalan di seluruh pintu-pintu masuk utama ke Malaysia dalam mencegah jangkitan itu.

"Kita amat berharap golongan penternak dapat memberikan kerjasama kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan jangkitan itu.

"Langkah awal ini supaya kita dapat bendung dan kawal dengan lebih cepat sekaligus mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, kerajaan sedang membuat pertimbangan untuk memberikan saguhati kepada penternak yang terkesan dengan jangkitan LSD.

Katanya, pemberian saguhati itu membuktikan kecaknaan kerajaan dalam mengurangkan kesan kerugian yang dialami penternak akibat LSD.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah berkata, sebanyak 27 buah rumah sembelih JPV di seluruh negara sudah bersedia untuk memulakan operasi.

Beliau berkata, sebanyak 10 daripada rumah sembelih berkenaan telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan dari Australia.

"Di samping itu, kita telah mengeluarkan lesen kepada 35 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!