X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Alumni UUM kumpul RM23,000 dalam tiga hari

Wakil alumni, Zamri Mat (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan makanan untuk warga UUM kepada Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sokongan Pelajar, Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain di hadapan pintu masuk UUM pada Jumaat.
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) mengumpulkan dana RM23,000 dalam tempoh tiga hari untuk membantu mahasiswa berada dalam kampus yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 13 Jun lepas.

Wakil alumni, Zamri Mat berkata, seramai 82 orang alumni UUM 2001 mengambil inisiatif itu untuk memastikan 2,067 pelajar di kampus tidak terputus bekalan makanan.

Katanya, mereka yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan warga universiti berkenaan terpanggil untuk mengumpulkan dana membeli barangan makanan bagi memastikan pelajar mendapat makanan secukupnya.

"Sehubungan itu, kami sepakat melancarkan Tabung Bencana Khas Pelajar UUM Covid-19 dalam kumpulan WhatsApp kami dinamakan sebagai Sintoqian 98 demi kembali berbakti kepada warga kampus itu.

"Alhamdulillah, kami berjaya kumpul RM23,000 dalam tempoh tiga hari," katanya kepada Sinar Harian selepas penyerahan barangan makanan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sokongan Pelajar, Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain.

Katanya, antara barangan makanan disumbangkan termasuk roti jenama, mi segera, sardin, air kordial dan biskut untuk membolehkan pelajar makan pada bila-bila masa sahaja.

Zamri berkata, pihaknya difahamkan pelajar UUM tidak dapat keluar atau masuk sepanjang tempoh berkenaan disebabkan kawasan kampus dikenakan PKPD sejak Ahad lalu.

"Mereka diberi makanan percuma mengikut jadual ditetapkan namun sekurang-kurangnya dengan ada sumbangan barangan makanan ini mereka boleh makan waktu malam atau pada bila-bila masa sahaja,"katanya.

Beliau berkata, sumbangan barangan makanan berkenaan diharapkan sedikit sebanyak membantu pelajar yang berada di kampus meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!