Kelantan pertimbang vaksin CanSino untuk banduan, tahanan imigresen

Zaini Hussin
Zaini Hussin
A
A
A

JELI - Kerajaan Kelantan akan mempertimbangkan pemberian vaksin CanSino kepada banduan dan individu dalam tahanan Jabatan Imigresen selain penduduk di kawasan luar bandar dan masyarakat orang asli.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, cadangan itu bertujuan memudahkan kumpulan berkenaan menerima vaksinasi mengikut kekangan dan keperluan semasa.

Beliau berkata, bagaimanapun beberapa faktor akan diambil kira kerana termasuk mereka yang perlu dihantar pulang ke negara asal dan individu terlantar.

"Kita juga akan mengenal pasti golongan yang mengalami penyakit kronik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Covid-19 di Pejabat Ahli Parlimen Jeli di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan vaksin CanSino akan dibekalkan kepada Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan orang asli.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan dijangka menerima bekalan vaksin berkenaan tersebut Julai ini.

Zaini turut memaklumkan, sehingga Jumaat, sebanyak 149,000 dos berjaya disuntik melibatkan rakyat negeri ini selain 42,000 sudah melengkapkan dua dos.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pihaknya optimis dapat memenuhi imuniti kelompok yang menerima suntikan vaksin dengan sasaran 80 peratus menjelang Oktober ini.

"Dengan lima saluran suntikan yang kita sediakan, kita yakin sasaran tersebut akan dapat dicapai dengan bantuan pelbagai pihak dan agensi.

"Suntikan melalui pandu lalu masih lagi dalam peringkat perbincangan memandangkan kita kini memberi fokus kepada pusat pemberian vaksin (PPV) yang statik,"katanya.

Ketika ditanya mengenai vaksinasi melibatkan individu bawah 18 tahun, Zaini berkata, ia perlu mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan selepas ini.