Sila log masuk terlebih dahulu.

Tempat kerja sempit punca penularan kluster Covid-19 di Sabah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Ruang tempat kerja yang sempit dipercayai menjadi punca tercetusnya penularan Covid-19 dalam Kluster Pintas-Lingkudau yang direkodkan di Sabah pada Jumaat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan Covid-19 berkata, kluster itu sehingga hari ini melibatkan 10 kes kumulatif dicetus seorang eksekutif wanita berusia 34 tahun di syarikat bekalan elektrik di Keningau yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada Selasa lalu.

"Kluster ini melibatkan penularan kes di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di daerah Keningau dan Mukim Sunsuron di daerah Tambunan. Aktiviti pengesanan dan saringan kontak rapat serta penyiasatan punca penularan masih giat dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata, Sabah pada Jumaat merekodkan 199 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif di negeri ini sebanyak 67,177 manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 253 orang menjadikan jumlah kumulatif 64,354 orang.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd dalam kenyataan berasingan berkata, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengagihkan 4,000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melibatkan peruntukan RM300,000.

Beliau berkata, selain itu MUIS juga menyerahkan bantuan khas sekali bayar berjumlah RM100,000 kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dan disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta hospital.

"Bantuan bakul makanan merupakan inisiatif Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS yang diagihkan kepada asnaf di setiap daerah seluruh Sabah, manakala waris pesakit meninggal dunia boleh memohon bantuan khas melalui Pegawai Tadbir Agama daerah atau merujuk kepada Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: