X

Kindly register in order to view this article
!

Kenderaan jemput penerima vaksin di rumah

Antara pengangkutan digunakan bagi melancarkan proses vaksinasi melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman. Gambar kecil: Razali Idris
A
A

KUALA TERENGGANU - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan khidmat menjemput penerima vaksin khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman serta mengalami kesukaran pengangkutan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, usaha itu dilakukan menerusi penubuhan jawatankuasa khas, Task Force Stay Safe - Ketengah Region (S-Reg) di bawah Program Ketengah Ambik Cakne bagi meluaskan proses vaksinasi ke kawasan pedalaman.

Katanya, kerjasama itu melibatkan jawatankuasa yang dibentuk di peringkat daerah melibatkan Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

"S-Reg digerakkan dengan kekuatan lebih 200 sukarelawan bagi mengemaskini data dan laporan status pendaftaran vaksin penduduk di wilayah berkenaan.

"Sukarelawan ini akan turun ke kawasan bagi membantu proses pendaftaran khususnya penduduk yang mengalami kekangan untuk mendaftar secara maya.

"S-Reg juga akan bertindak menyelaras pembukaan PPV dalam wilayah dengan membantu melaksanakan persiapan tempat dan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang memerlukan ke lokasi PPV," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama katanya, gerak kerja Task Force S-Reg telah dilaksana awal Jun melalui pelbagai kempen kesedaran bagi menyalurkan maklumat tepat serta menjawab persepsi masyarakat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Ketengah bersama Pejabat Kesihatan Daerah serta dibantu 91 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan penduduk mendaftar vaksin dan mempercepat proses suntikan diperolehi.

"Kita juga menyediakan insentif dalam bentuk geran pembangunan kepada kampung-kampung yang berjaya mencapai peratusan vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus menjelang akhir Ogos 2021.

"Peruntukan sejumlah RM200 ringgit juga disalurkan kepada setiap Pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu urusan pentadbiran diperingkat kampung,"katanya.

Sebelum ini, Ketengah menyediakan beberapa insentif sokongan lain dalam rangka membantu meringankan beban masyarakat luar bandar terutama usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula PKP 1.0 hingga PKP 3.0.

Antara bantuan diberikan secara terus selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai 2021 melibatkan 4,443 penerima manfaat dengan peruntukan RM917,443.65 serta penyediaan bantuan bakul makanan melibatkan 3,200 keluarga bernilai RM366,000.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!