X

Kindly register in order to view this article
!

MBSB sasar pertumbuhan pendapatan 3.0 peratus tahun ini

MBSB unjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 3.0 peratus tahun ini.
A
A

MALAYSIA Building Society Bhd (MBSB) mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 3.0 peratus tahun ini berikutan kumpulan berusaha untuk menjana lebih banyak aliran pendapatan bagi mencapai sasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, “Apa yang ingin kami lakukan ialah meningkatkan pendapatan kami. Bagaimanapun, kami mahu melihat paras pendapatan bersih kumpulan. MBSB ingin mengekalkan trajektori keuntungan pada tahun ini.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena dengan mesyuarat agung tahunan ke-51 syarikat yang diadakan secara maya hari ini.

Pada tahun kewangan tahun 2020, keuntungan bersih syarikat merosot lebih 62 peratus kepada RM269.32 juta daripada RM716.90 juta pada tahun kewangan 2019.

Bagaimanapun, pendapatan meningkat 4.4 peratus kepada RM3.15 bilion daripada RM3.01 bilion, berikutan keuntungan yang lebih tinggi daripada jualan pelaburan kewangan sebanyak RM249.60 juta daripada RM60.02 juta sebelum ini.

Menurut Ahmad Zaini, MBSB dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak tiga peratus pada tahun ini, bergantung kepada prestasi ekonomi Malaysia.

Kumpulan turut meningkatkan lagi segmen runcit pengguna, yang telah memberikan pendapatan stabil kepada cabang perbankannya.

“Pembiayaan peribadi kepada kakitangan kerajaan memberikan kestabilan yang lebih besar kepada kami berikutan tiada pemberhentian kerja,” katanya.

Mengenai pinjaman tidak berbayar, Ahmad Zaini berkata, kadarnya naik sedikit semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berbanding PKP 1.0, tetapi masih terurus, sambil menambah MBSB menawarkan pendekatan bersasar untuk membantu pelanggan yang memerlukan.

MBSB mengalami kerugian pengubahsuaian yang besar sebanyak RM504.75 juta pada tahun kewangan 2020 berikutan moratorium automatik yang menyeluruh diberikan oleh kerajaan.

Kerugian pengubahsuaian kini lebih terurus berikutan pelaksanaan bantuan yang lebih bersasar.

Bagaimanapun, katanya MBSB akan terus memberikan bantuan kepada pelanggan berdasarkan keadaan kewangan mereka.

Kumpulan turut menetapkan sasaran untuk menjadi penggiat serantau dalam kewangan perdagangan sebagai sebahagian daripada aspirasi Journey 25, apabila ia menyasarkan untuk menjadi sebuah institusi kewangan Islam yang matang sepenuhnya pada tahun 2025.

Ia juga sedang mempertimbangkan pelbagai bentuk langkah korporat untuk mendapat manfaat daripada akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan pelaburan yang boleh mengukuhkan kedudukan modalnya.

“Kami mengunjurkan perniagaan kewangan perdagangan kami terus berkembang dan jumlah deposit akan meningkat pada suku kedua tahun ini berikutan pertumbuhan sebanyak 5.12 peratus pada suku pertama,” kata Ahmad Zaini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!