Titah Agong, Raja-raja berlaku pada waktu tepat: Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin serta tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini sesuatu yang wajar dan berlaku pada waktu tepat.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun pengisytiharan darurat yang diumumkan lima bulan lalu adalah sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak, ia juga secara tidak langsung telah menyekat wakil-wakil rakyat daripada melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Sebagai wakil rakyat, peranan mereka kini lebih diperhatikan oleh rakyat berbanding sebelum ini di mana rakyat lebih melihat sama ada wakil rakyat mereka menjalankan tugas atau tidak.

“Rakyat tidak mahu melihat wakil rakyat tidak melaksanakan tugas mereka di saat negara berhadapan masalah serius ketika ini.

“Rakyat ingin melihat wakil rakyat mereka memberikan fokus penuh dalam menangani krisis kesihatan ketika ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Selain itu, Raja-raja Melayu bersetuju agar tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini dan menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong agar persidangan Parlimen diadakan segera.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pada ketika ini apa yang rakyat mahukan ialah semua wakil rakyat berusaha menangani pandemik, mencapai imuniti kelompok dan menyelamatkan nyawa mereka.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat tidak mahu wakil rakyat masih berusaha untuk bermain politik. Jika ada wakil rakyat yang lebih ingin berpolitik, mereka boleh menunggu pilihan raya akan datang.

“Kini, perkara paling penting semua pihak harus berusaha sedaya upaya dan mencari langkah untuk membebaskan negara daripada pertempuran yang sudah lama bagi menentang virus yang menjadi ancaman ditakuti ini,” katanya.