X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak perlu dipercepatkan

Kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada golongan rakyat yang berusia 12 hingga 17 tahun.
A
A

KUALA LUMPUR - Banyak negara semakin memberi fokus kepada pemberian vaksin untuk kanak-kanak seawal umur 12 tahun untuk mendapatkan imuniti kelompok sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19.

Amerika Syarikat contohnya, meluluskan pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk dua dos kepada kanak-kanak berumur 12 sehingga 15 tahun dan lebih kurang 1 juta kanak-kanak dilaporkan menerima suntikan dos pertama.

Malaysia juga mengambil pendekatan yang sama apabila kerajaan meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas ianya dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 pada 15 Jun lepas.

Sudah tentunya keputusan kerajaan itu melegakan banyak pihak, terutama apabila terdapat desakan agar kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas segera diberikan vaksin memandangkan impak jangkitan dalam kelompok kanak-kanak semakin membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut menyuarakan pandangan serupa agar kadar jangkitan dapat dikurangkan selain melindungi kelompok berkenaan.

Kunci penting

Penularan virus Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sememangnya membimbangkan kerana menurut rekod KKM, sejak 25 Januari 2020 sehingga 30 Mei 2021, terdapat sebanyak 82,341 kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Daripada jumlah tersebut, kelompok paling tinggi dijangkiti adalah mereka yang berumur 13 hingga kurang 18 tahun iaitu sebanyak 27,402 kes. Ini diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun sebanyak 26,851 kes dan lima hingga enam tahun, sebanyak 8,237 kes. Sementara yang baharu lahir hingga empat tahun pula sebanyak 19,851 kes.

Berkongsi pandangan sama, Pakar Perubatan Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Masri Muhamed berkata, keputusan yang diambil kerajaan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak adalah langkah yang dinanti-nantikan.

Menurut beliau, walaupun gejala yang dihadapi kanak-kanak yang positif Covid-19 adalah lebih ringan berbanding orang dewasa, namun pemberian vaksin amat penting sebagai pelindung terutamanya apabila mereka kembali ke sekolah.

"Golongan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun merangkumi 30 peratus populasi masyarakat. Namun, sebanyak 80 peratus masyarakat perlu divaksin untuk mencapai imuniti kelompok. Oleh yang demikian, pemberian vaksin kepada kanak-kanak dilihat sebagai kunci penting bagi mencapai imuniti kelompok sekali gus melawan pandemik Covid-19.

"Hal ini kerana buat masa sekarang, mereka hanya bergantung kepada imuniti kelompok golongan dewasa serta penjagaan daripada ibu bapa masing-masing yang mengamalkan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan KKM, ” katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Masri yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega UiTM Puncak Alam, kejayaan negara yang melaksanakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak boleh dijadikan rujukan bagi mengukuhkan dapatan pemberian vaksin kepada kelompok itu.

Beliau menambah, ini terutamanya kerana ujian klinikal yang dijalankan menunjukkan vaksin Covid-19 bukan sahaja selamat malah berkesan melindungi golongan ini daripada jangkitan virus maut tersebut.

Ramai kanak-kanak

Berkongsi pengalamannya mengendalikan kes pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, Dr Masri menjelaskan semakin ramai pesakit kanak-kanak yang memerlukan alat bantuan pernafasan kanula hidung aliran tinggi (HFNC) dan BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure).

Beliau menjelaskan, ini berikutan varian baharu virus yang lebih ganas seperti varian United Kingdom yang kini dikenali sebagai varian Alpha, varian Afrika Selatan sebagai Beta dan varian India sebagai Delta.

"Sebelum ini, ketika mulanya tersebar virus Covid-19 dari Wuhan, China, gejala yang dialami kanak-kanak lebih ringan berbanding golongan dewasa. Namun, keadaannya sudah berubah dengan adanya varian baharu ini.

“Gejala yang dialami akan lebih teruk sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai sejarah penyakit seperti asma dan masalah jantung,” katanya.

Menurut beliau lagi, risiko dijangkiti virus berkenaan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga bayi yang baharu lahir turut berisiko mendapat Covid-19 melalui ibunya, sekiranya disahkan positif wabak tersebut.

Terdapat beberapa kes bayi baharu lahir yang disahkan positif virus Covid-19 yang kini di tempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).

"Menerusi pemeriksaan sebelum proses kelahiran, ibu bayi disahkan positif jangkitan Covid-19. Walaupun gejala yang ditunjukkan tidak serius, tetapi apabila ibu bapa didapati turut dijangkiti virus Covid-19, pelbagai isu akan timbul.

“Sebagai contoh, ibu bapa akan berasa sedih dan kesal apabila mengetahui jangkitan terhadap anak mereka adalah berpunca daripada mereka sendiri,” katanya.

Keadaan bertambah parah sekiranya ibu bapa merupakan golongan anti-vaksin memandangkan ketika ini kanak-kanak hanya bergantung kepada ibu bapa dan penjaga yang dimasukkan sebagai penerima vaksin bagi membina imuniti kelompok.

“Ibu bapa yang sudah berada dalam senarai penerima vaksin Covid-19 seharusnya tidak berdolak-dalik dengan memberi pelbagai alasan untuk tidak menerima suntikan vaksin.

“Justeru, saya berharap kelulusan pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat diberikan segera mungkin dan dimanfaatkan sebaiknya supaya kelompok ini turut dilindungi," katanya.

Garis panduan

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat dipertimbangkan sebelum bermulanya fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Fasa kedua PICK yang sedang berjalan, memberi keutamaan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Gesaan itu dibuat berikutan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan serius diambil segera bagi menanganinya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh, KPWKM bekerjasama rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memastikan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini terus terpelihara.

Antara usaha yang dilakukan adalah mewujudkan Panduan Penularan Covid-19 Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Perkhidmatan Kanak-Kanak.

"Garis panduan ini secara jelas menerangkan tatacara dan kewajipan menjalani kehidupan dalam norma baharu bagi memastikan pandemik ini tidak terus menular dalam kalangan kanak-kanak.

“Garis panduan ini dibangunkan menerusi panduan daripada KKM dengan mengamalkan 3W (wash/cuci), (wear/pakai), (warn/amaran) dan juga 3C (crowded place/sesak), (confined space/sempit) dan (close conversation/sembang jarak dekat)," katanya.

Selain itu, JKM turut memastikan kemasukan penghuni baharu ke Institusi kanak-kanak adalah berstatus negatif Covid-19 berdasarkan ujian calitan.

Beliau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan tiada penghuni kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 sewaktu dibawa masuk ke institusi JKM. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!