X

Kindly register in order to view this article
!

Penjara sesak, vaksin kepada banduan perlu dipercepat

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob (berdiri tiga dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (kiri) menunjukkan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada 2,000 penerima vaksin Covid-19 di Dewan Tan Sri Murad Ahmad Penjara Pengkalan Chepa pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan bagi empat penjara di Kelantan perlu dipercepatkan berikutan keadaannya kini sesak dengan lebih 5,000 penghuni ketika ini.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, penjara tersebut iaitu Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu; Pusat Transit Penerimaan Kuala Krai; Pusat Koreksional Machang dan Pusat Reintegrasi Penghuni Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu terbabit melebihi 85 peratus keupayaan kapasiti iaitu 3,000 penghuni dalam satu-satu masa.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penjara mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri malah mempunyai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di samping pematuhan terhadap SOP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penjara sesak dengan jumlah lebih 5,000 penghuni begitu sukar diuruskan semasa ancaman pandemik Covid-19 ini.

“Saya amat berharap pemberian suntikan vaksin banduan dipercepatkan bagi mengelakkan virus merebak dalam kalangan banduan selain bimbang kemasukan banduan baharu setiap hari,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Tan Sri Murad Ahmad Penjara Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu melawat Program Outreach Vaksinasi Kakitangan Penjara dan Keluarga Jajahan Kota Bharu yang diadakan selama lima hari melibatkan 2,000 penerima vaksin Covid-19 yang diberikan suntikan secara berperingkat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mat berkata, keadaan semasa pandemik di penjara-penjara dapat ditangani dan terkawal dengan jumlah yang sangat rendah berbanding Kluster Tembok yang tercetus pada peringkat awal kewujudan virus.

“Banduan perlu mematuhi SOP yang ketat dan bersesuaian semasa menghuni penjara termasuk menjalani swab serta kuarantin di penjara-penjara satelit bagi mengelak jangkitan kepada banduan lain, kakitangan mahupun keluarga kakitangan.

“Justeru, program suntikan vaksin yang julung kali diadakan oleh satu-satunya penjara di Malaysia ini adalah sebagai langkah melindungi semua termasuk ahli keluarga kakitangan penjara itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, 99 peratus daripada 1,000 jumlah kakitangan penjara selesai melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan yang diadakan sebelum ini.

“Baki mereka yang belum divaksin terdiri daripada golongan berisiko kerana berpenyakit kronik dan ibu-ibu mengandung serta menyusu badan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!