JKN Kedah sahkan arah pekerja kilang proses ayam dibawa ke PKD

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan telah meminta pihak majikan sebuah kilang pemprosesan ayam di Bedong, Sungai Petani untuk membawa pekerjanya yang positif Covid-19 ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, pada Ahad.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, mereka dibawa ke PKD itu berikutan segala peralatan, ruang dan petugas kesihatan telah berada di situ untuk membuat penilaian ke atas pekerja terbabit.

“Semalam, sebanyak 225 kes positif telah dicatatkan di daerah Kuala Muda dan daripada jumlah itu, 150 kes positif adalah daripada kluster yang melibatkan kilang ayam itu. Jadi, semua kes positif perlu disaring dan dinilai untuk menentukan rawatan seterusnya.

“Kita akan tentukan sama ada mereka perlu dirawat di hospital atau dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), atau dikuarantin di asrama yang disediakan oleh majikan untuk pekerja mereka yang positif," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan video yang tular dalam media sosial pada Ahad memaparkan sekumpulan pekerja asing yang dikatakan positif Covid-19 dan memakai gelang merah jambu dibawa menaiki sebuah lori secara terbuka di sekitar bandar Sungai Petani.

Video berdurasi 19 saat itu menyebabkan pengguna media sosial mempersoalkan tindakan pihak PKD yang tidak membuat penilaian terhadap semua pekerja asing itu di kilang ayam terlibat. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tular lori bawa 135 pekerja asing positif Covid-19

Artikel Berkaitan: