Sindiket seludup rokok antarabangsa tumpas

Ayob Khan menunjukkan kotak rokok dalam sebuah lori yang dirampas dalam satu serbuan mematahkan pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta di sebuah jeti di Endau, Mersing pada Isnin.
Ayob Khan menunjukkan kotak rokok dalam sebuah lori yang dirampas dalam satu serbuan mematahkan pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta di sebuah jeti di Endau, Mersing pada Isnin.
A
A
A

MERSING - Polis Johor melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta dalam serbuan di sebuah jeti di Endau di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan lebih tiga bermula jam 6.30 petang itu melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing dan PPM Wilayah 2 Tampoi dibantu Balai Polis Endau.

Menurutnya, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 51 tahun manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis turut merampas dua buah lori, satu bot persiaran atau bot pelancongan, 903 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM7.6 juta, satu unit Global Positioning System (GPS) dan dua unit radar.

"Jumlah kesemua yang disita ialah RM9.3 juta," katanya dalam sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di sini pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah menggunakan bot pelancongan untuk mengaburi aktiviti penyeludupan tersebut.

Ayob Khan melihat sebuah bot pelancongan yang dirampas dalam satu serbuan mematahkan pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta di sebuah jeti di Endau, Mersing pada Isnin.
Ayob Khan melihat sebuah bot pelancongan yang dirampas dalam satu serbuan mematahkan pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta di sebuah jeti di Endau, Mersing pada Isnin.

Jelasnya, bot pelancongan itu digunakan untuk mengambil rokok dari sebuah kapal besar yang berada di perairan antarabangsa sebelum membawanya masuk ke perairan negara ini lalu diedarkan dengan menggunakan jalan darat.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan menjelaskan, kapal berkenaan membawa rokok berkenaan dari Vietnam sebelum ke Batam, Indonesia dan menunggu bot penyeludup di perairan antarabangsa mengambil rokok berkenaan.

"Siasatan mendapati pemilik bot pelancongan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan selepas tiada lagi aktiviti pelancongan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Pemiliknya mengubah suai bahagian dalam bot bagi memudahkan aktiviti itu dan sudah tiga atau empat kali melakukan kegiatan berkenaan. Rokok-rokok itu kemudian dipunggah ke dalam lori untuk dibawa ke pantai timur, Negeri Sembilan dan Perak," katanya.

Kata Ayob, mereka menutup barang seludup itu menggunakan air mineral bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, semua suspek yang direman pada Sabtu dan Ahad disambung semula selama selama tiga hari bermula.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1957, jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara enam hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.