Projek TOD Stesen ECRL Jertih bernilai RM16 juta mula dibina Mac tahun depan

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jertih dengan anggaran kos RM16 juta dijadualkan memulakan fasa pembinaannya pada Mac tahun depan selepas proses perolehan dimuktamadkan.

​Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, proses perolehan bagi projek tersebut dijadualkan berlangsung pada 26 November ini manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 1 Mac 2027.

​Menurutnya, tempoh pembinaan projek pembangunan berkenaan dianggarkan mengambil masa selama 24 bulan.

​"Pembangunan TOD Stesen ECRL Jertih kini berada pada peringkat penyelarasan keperluan projek dan persediaan perolehan sebelum memasuki fasa pembinaan.

​"Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu telah menerima cadangan skop projek daripada Majlis Daerah Besut dan beberapa mesyuarat penyelarasan telah diadakan di peringkat daerah serta negeri melibatkan JKR, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu serta jabatan dan agensi berkaitan," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Riduan Mohd Nor (Pas-Jertih) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

Riduan mengemukakan soalan mengenai sejauh mana perkembangan kemajuan di TOD Stesen ECRL Jertih.

​Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan JKR Terengganu kini sedang dalam proses menyediakan dokumen Kehendak Kerajaan bagi mengenal pasti, menyelaras dan mendokumenkan keperluan projek secara jelas sebelum reka bentuk dimuktamadkan.

​Beliau berkata, antara komponen utama yang terlibat dalam projek TOD Stesen Jertih adalah kerja-kerja pengukuran dan pembersihan tapak, pembinaan sebuah Terminal Transit serta laluan keluar masuk ke terminal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

​Selain itu, projek tersebut turut merangkumi pembinaan bangunan sokongan seperti surau, pondok pengawal, tandas, kedai dan kiosk sewaan, di samping pembinaan laluan pejalan kaki (susur gajah) dari Stesen ECRL Jertih ke Kawasan Pusat Pengangkutan.

Katanya, ​komponen lain yang turut dilaksanakan termasuk pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah tinggi (high mast), pembinaan sistem saliran dan perparitan, pemuliharaan cerun, kerja-kerja landskap serta pemasangan perabot jalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!