Hobi bela burung bawa padah, wanita ditahan

PGA merampas sebanyak 22 ekor unggas eksotik pelbagai spesies dalam serbuan di sebuah rumah di Baung Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad. Foto:PGA
PGA merampas sebanyak 22 ekor unggas eksotik pelbagai spesies dalam serbuan di sebuah rumah di Baung Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad. Foto:PGA
A
A
A

KOTA BHARU - Hobi memelihara burung sejak enam tahun lalu membawa padah kepada seorang wanita apabila 22 ekor unggas eksotik pelbagai spesies dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Baung Hilir, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Wanita berusia 45 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan tujuh ekor burung Sun Conure dan 15 ekor burung lovebird bernilai RM28,200 yang ditemukan dalam pemeriksaan oleh anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan kira-kira jam 5 petang itu dijalankan menerusi Op Taring Wawasan hasil maklumat risikan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

Menurut beliau, pemeriksaan di bahagian ruang dapur dan sangkar di belakang rumah berkenaan menemukan kesemua burung terbabit.

"Pemilik rumah gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan burung-burung itu ketika diminta berbuat demikian.

"Susulan itu, wanita terbabit ditahan manakala kesemua burung berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat awal mendapati wanita berkenaan mengaku mula memelihara burung sejak 2020 kerana hobi dan minat.

Tambahnya, burung-burung yang dirampas itu pula dipercayai baru dipelihara sejak awal tahun ini selepas dibeli daripada pembekal di Kota Bharu.

Menurut beliau, nilai rampasan membabitkan tujuh ekor burung Sun Conure dianggarkan RM25,200, manakala 15 ekor lovebird bernilai RM3,000.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Perhilitan Kelantan kira-kira jam 9 malam pada hari sama untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!