Jadi macam Roy dan Mansor derma darah

No Image Caption
A
A
A

DARAH manusia merah kecuali dalam kisah Mahsuri dikatakan berdarah putih.

Maaf, penulis bukan hendak berbicara warna darah tetapi mengenai tarikh istimewa hari ini iaitu Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut setiap 14 Jun saban tahun.

Ketika mencari maklumat mengenainya di Facebook Pusat Darah Negara (PDN), penulis terbaca satu hantaran bertarikh 20 Mei 2021 bermaksud orang ramai diseru keluar membantu PDN mengumpul darah kerana masih ramai menantikan bantuan.Pada tarikh sama satu posting menyebut orang ramai diminta hadir membantu. Masih ramai pesakit memerlukan bekalan darah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kehadiran penderma semakin berkurangan.

Sebelum itu dalam posting pada 11 Mei lalu, PDN menerusi satu poster merayu penderma untuk tampil kerana bekalan darah begitu rendah.

Hakikatnya, dalam tempoh PKP ketika ini, keperluan darah untuk menyelamatkan pesakit lain adalah seperti biasa. Nah, di sini memerlukan peranan kita untuk membantu memastikan stok darah stabil dengan menderma darah asalkan tahap kesihatan kita bersesuaian serta layak menderma.

Stok darah negara perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan rutin seperti pesakit thalasaemia.

Sekurang-kurangnya 500 sehingga 600 penderma diperlukan setiap hari! Bayangkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah untuk menampung kegunaan kira-kira 1,000 pesakit sehari.

Acapkali kita membaca laporan media mengenai isu bekalan darah. Misalnya Januari lalu, bekalan darah untuk kegunaan pesakit di Terengganu agak membimbangkan susulan tren penurunan derma darah sejak PKP.Pada 27 Mei lalu, dilaporkan bekalan darah untuk kegunaan hospital di Kedah juga pada tahap kritikal.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Perkhidmatan Transfusi Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir, penurunan bekalan darah sehingga 50 peratus berikutan pelaksanaan PKP 3.0 sedangkan permintaan keperluan darah sentiasa tinggi.PrihatinFaham, kita sedang tertekan menghadapi krisis Covid-19, tersekat pergerakan akibat PKP sejak lebih setahun lalu hingga mungkin ada yang lupa kepada tugas mulia seperti menderma darah ini. Tetapi kita tetap kena prihatin terhadap situasi bekalan darah dalam negara.

Ayuh, sambil kita duduk di rumah, mungkin boleh layari http://linktr.ee/dermadarah untuk mengetahui maklumat lanjut mengenainya.

Daripada kita layan isu ‘bodoh-bodoh’ dalam mencari jodoh yang tular itu, lebih baik kita sibukkan diri dengan sesuatu yang boleh membantu nyawa orang lain.

Sedarkah sekiranya melorongkan minda prihatin begini, ia membuahkan manfaat iaitu kita berpeluang membantu orang lain.

Kita terdiri daripada masyarakat pelbagai bangsa dan agama tetapi warna darah tetap merah walaupun warna kulit berbeza. Nah, bermula daripada menderma darah mewujudkan hubungan semula jadi iaitu harmoni sesama manusia dengan saling membantu melalui darah.

Cecair merah anda sumbangkan itu boleh membawa harapan dan senyuman kepada pesakit memerlukan. Betapa indahnya derma darah kerana bukan sahaja membantu nyawa tetapi memupuk semangat bantu membantu sesama manusia.

Manfaat derma darah boleh kita lihat menerusi satu babak dalam filem Gila-Gila Remaja apabila watak hero bernama Roy yang sudi menderma darah hingga berjaya menyelamatkan bapa kepada kekasihnya, Suzie dalam filem popular pada 1986 itu. Jangan anggap babak tersebut semata-mata skrip filem tetapi hayati hikmah derma darah itu.

Sebagai motivasi hayati juga kisah pengarah dan pengkritik filem Mansor Puteh yang sudah menderma darah 572 kali sekali gus menjadi individu kedua terbanyak menderma darah di Malaysia selepas tempat paling banyak disandang oleh Liew Chin Yap sebanyak 600 kali.

Penulis tegaskan, Mansor kini berusia 67 tahun tetapi masih komited mendermakan darah pada Selasa lalu demi membantu sesama insan.

Itulah cerita Roy dan Mansor. Sesungguhnya PKP tidak halang niat mulia kita menjadi seperti mereka. Apapun derma darah itu mulia, cekik darah itu keji.

* Anita Abu Hasan ialah penyunting Sinar Harian