Penubuhan Mageran tidak beri kesan, cetus polemik: Penganalisis

Syed Agil Alsagoff
Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa sekarang tidak memberi kesan terbaik untuk memacu pentadbiran kerajaan PN melawan Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff sebaliknya berpandangan, ia akan mencetuskan polemik terutamanya melibatkan persepsi politik dan ekonomi negara di mata luar bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Menurutnya, Mageran selepas 13 Mei 1969 diwujudkan untuk merangka polisi dan memperbaiki sosiopolitik dan ekonomi negara susulan negara ketika itu dilanda musibah persengketaan kaum.

"Keadaan ini berbeza pada masa sekarang yang mana pendekatan strategik dan berfokus harus dibangunkan dengan melibatkan semua pihak bagi menangani pendemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, adalah tidak wajar mewujudkan Mageran yang mana isu kesihatan global kini ditadbir berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan melibatkan hanya negara kita semata-semata.

"Apa yang penting ialah kesediaan kerajaan mengumpulkan pandangan daripada semua pihak, mencari jalan penyelesaian yang berkesan bagi melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

"Di samping itu, perlu merancang serta melaksanakan strategi vaksinasi secara menyeluruh dan pantas dalam kalangan rakyat di negara ini supaya pengawalan jangkitan dapat dibuat dengan sistematik," katanya.

Beliau menambah, dengan mendirikan mekanisme mengurus dan melaksanakan pandemik Covid-19 sebagaimana telah dilakukan negara-negara luar yang terbukti perancangan strategik berfokus dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Dr Mahathir telah mencadangkan penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Mageran yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Pejuang itu turut menyenaraikan empat krisis dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong