X

Kindly register in order to view this article
!

Petugas media di Perak mula terima suntikan vaksin esok

Petugas media mula menerima notifikasi suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
A
A

IPOH - Sebahagian besar petugas media di Perak akan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 bermula pada Jumaat.

Notifikasi janji temu bagi tujuan vaksinasi berkenaan diterima petugas media termasuk wartawan dan jurugambar sekitar jam 3.30 petang pada Khamis.

Perkembangan terbaharu itu memberi kelegaan memandangkan sebelum ini, petugas media di negeri ini serta beberapa negeri lain belum menerima pemberitahuan janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad berkata, pemberian vaksin itu boleh disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap tugas media yang turut terdedah kepada penularan Covid-19 ketika menjalankan tugas di lapangan.

"Penghargaan harus diberikan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang telah membawa cadangan supaya petugas media disegerakan menerima vaksin dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Begitu juga Jabatan Kesihatan Negeri Perak yang menunaikan janji memberikan kami vaksin secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga wartawan Sinar Harian di Perak telah menerima janji temu bagi suntikan berkenaan masing-masing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh dan Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada jam 3 petang, Jumaat.

Jurukamera Astro Awani, Stanley Nelson berkata, suntikan vaksin itu sangat dinanti-nantikan dan beliau bersukur kerana terpilih sebagai penerima awal dalam kalangan kumpulan media esok.

Katanya, usaha Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) yang menyuarakan hasrat dan desakan secara tidak langsung membantu proses vaksinasi ini dipercepatkan.

"Tanpa desakan ini, mungkin petugas media di sini tidak akan menerima vaksin secepat ini," katanya.

Wartawan Harian Metro, Noor Hidayah Tanzizi berkata, walaupun baru menerima janji temu bagi dos pertama, beliau tetap berasa lega dan tidak lagi perlu risau akan keselamatan dirinya.

"Risiko jangkitan ketika bertugas itu memang ada memandangkan rutin tugasan menuntut kita bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat.

"Adanya suntikan vaksin ini, kita akan rasa lebih selamat dan yakin untuk bertemu masyarakat," katanya yang akan menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Lumut Kiri, Manjung pada Jumaat.

Wartawan Kwong Wah Yit Poh, Loke Su Su turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih atas usaha semua pihak yang membantu mempercepatkan proses imunisasi kepada media.

"Harap tarikh janji temu untuk petugas media lain juga dapat dipercepatkan," katanya.

Pada Khamis, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming memberitahu, seramai 123 petugas media di negeri ini yang berada dalam senarainya akan menerima notifikasi janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, PPMP telah menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media demi menjamin keselamatan.

Desakan itu dibuat berikutan sepanjang tempoh penularan Covid-19 ini, petugas media di Perak telah beberapa kali terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat kes positif.

Ini termasuk pada 3 Mei lalu apabila seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi terpaksa menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Pada Rabu, seramai 100 petugas media daripada pelbagai agensi di Lembah Klang dan Putrajaya menjadi kumpulan pertama petugas media yang menerima suntikan vaksin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!