Perak mula terima royalti hasil lantanid

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mula menerima royalti RM1.66 juta hasil perlombongan nadir bumi lantanid di Mukim Kenering, Gerik pada bulan Februari lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil tersebut merupakan pengeksportan pertama produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.2 tan metrik.

Menurutnya, Projek Perintis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu telah memulakan operasi pada bulan Oktober 2022 setelah memperolehi kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.

"Sehingga kini, sebanyak 4,477 metrik tan REC telah dieksport ke Negara China melalui empat penghantaran iaitu pada bulan Februari, Mac dan April 2023. Baki REC di tapak adalah sebanyak kira-kira 1,000 tan metrik.

"Pihak penggerak projek juga telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak RM1.66 juta bagi pengeksportan pertama REC sebanyak 296.1945 tan metrik pada bulan Februari 2023," katanya ketika menjawab Soalan Lisan dikemuka Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya juga komited mewujudkan pusat pemprosesan NR-REE di dalam negeri ini sebagai aktiviti industri hiliran bagi menghasilkan semi-produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi jika dibandingkan dengan produk mentah NR-REE.

Jelasnya, pembangunan pusat pemprosesan NR-REE wajar dilaksanakan di negeri ini terlebih dahulu memandangkan Perak merupakan penggerak utama pengenalpastian sumber mineral ini dan turut merupakan negeri pertama yang menjalankan projek perintis seumpamanya.

Sementara itu, beliau turut mengulangi jaminan bahawa kerja-kerja perlombongan yang dilakukan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan memberi kesan negatif kepada rakyat kerana telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya memberi jaminan bahawa apabila kita melakukan projek perintis di tapak berkenaan, kita sudah mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak kementerian. Dalam masa kita menghasilkan pengekstrakan tersebut, ada audit yang datang (memantau) sama ada aktiviti di tapak tersebut mematuhi (SOP) atau tidak. Pihak audit telah mengesahkan semua itu telah dipatuhi.

"Kita memberi jaminan sekiranya proses mengekstrak NR-REE atau proses menghasilkan bahan-bahan baharu daripada pengekstrakan itu mendatangkan keburukan menghasilkan radioaktif, kerajaan negeri tidak teragak-agak menghentikan projek itu sebab ia membahayakan kesihatan, kita lebih mengutamakan kesihatan dan nyawa rakyat negeri Perak berbanding hasil," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!