Denda RM5,000 dan penjara jika gagal patuhi SOP MAIK

Tengku Muhammad Rizam
Tengku Muhammad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Kegagalan mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) khususnya berkaitan dengan arahan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini adalah mengingkari titah Sultan Muhammad V dan boleh diambil tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dalam satu kenyataan di sini berkata, mereka yang melanggar SOP berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Enakmen MAIK 1994.

Bagi kesalahan itu katanya, mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji kewibawaan dan titah perintah Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Negeri ini atau mana-mana pihak yang diberi kuasa adalah bersalah yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Perkara ini perlu dipertegaskan kerana masih berlaku pelanggaran SOP yang telah dikeluarkan oleh MAIK khususnya berkaitan dengan arahan aktiviti keagamaan di masjid, surau, musala dan madrasah.

"Lebih mendukacitakan, apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada Covid-19 akibat ketidakpatuhan SOP yang dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam untuk mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah dikeluarkan dari masa ke masa.

Jelasnya, semua pihak juga perlu beristiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan semua.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, tindakan tegas penguatkuasaan di bawah Seksyen 121 Enakmen Maik 1994 itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Jun lalu, seramai 37 individu dikompaun kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat berjemaah di dua buah surau di Mukim Chetok, Tok Uban.

ARTIKEL BERKAITAN: 37 dikompaun solat berjemaah, langgar SOP