Tira Satria Niaga adakan lawatan sulung ke Kumpulan Karangkraf

Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bergambar bersama delegasi perniagaan PT Tira Satria Niaga dari seluruh Indonesia selepas menyampaikan motivasi yang diadakan di Kompleks Karangkraf, pada Rabu. Foto Sinar Harian-Rosli Talib
Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bergambar bersama delegasi perniagaan PT Tira Satria Niaga dari seluruh Indonesia selepas menyampaikan motivasi yang diadakan di Kompleks Karangkraf, pada Rabu. Foto Sinar Harian-Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Delegasi perniagaan PT Tira Satria Niaga yang berkolaborasi bersama Cordoba Kids Indonesia mengadakan lawatan sulung ke Kompleks Kumpulan Karangkraf untuk sesi perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan.

Pengarah Jualan PT Cordoba, Aryindriyani berkata, Kumpulan Karangkraf merupakan satu entiti perniagaan yang disegani kerana memiliki bisnes yang pelbagai seperti jualan buku, surat khabar dan pemula kepada program berteraskan al-Quran.

“Hari ini, seramai 310 orang peserta dari seluruh Indonesia mengikuti lawatan selama tiga hari ke Malaysia untuk sesi perkongsian, pembelajaran dan bertukar pandangan mengenai perniagaan.

“Alhamdulillah, kesemua peserta menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat berkunjung ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, lebih-lebih lagi sewaktu sesi perkongsian jiwa di Studio My #QuranTime,” katanya ketika ditemui di Auditorium Karangkraf pada Rabu.

Aryindriyani
Aryindriyani

Menurutnya, ilmu perniagaan yang diterima ketika lawatan menjadikan ia lebih berharga kerana ia diselitkan dengan sesi refleksi diri, jiwa dan rohani oleh ilmuwan dari Malaysia.

Tambah Aryindriyani, sesi perkongsian itu merupakan acara paling berharga sepanjang lawatan yang bermula semalam.

“Kesemua peserta yang mengikuti rombongan ini merupakan peniaga-peniaga PT Tira Satria Niaga yang mahu mempelajari dan memperkembangkan ilmu perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai seseorang yang bertanggungjawab terhadap lawatan ini, saya berasa sungguh bersyukur kerana kesemua mereka seolah-olah kembali bertenaga sebaik sahaja sesi perkongsian jiwa itu selesai.

“Kata mereka (peserta), ilmu perniagaan yang diterima itu kini lebih berharga kerana ia menekan tentang meletakkan ALLAH SWT sebagai asbab utama dalam melakukan sesuatu perkara,” ujarnya.

Aryindriyani yang juga merupakan penulis buku Little Adib berkata, pihaknya bersedia untuk melakukan lawatan sekali lagi ke Kompleks Kumpulan Karangkraf sekiranya mendapat permintaan yang tinggi daripada peserta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!