MyVac peluang bantu belia menganggur

Mohd Rafiq (tengah) ketika meninjau PPV Dewan Tun Ali Bukit Katil di Melaka pada Selasa.
Mohd Rafiq (tengah) ketika meninjau PPV Dewan Tun Ali Bukit Katil di Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Belia dan Sukan Melaka akan menambah seramai 100 belia sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di lapan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) yang akan beroperasi bermula 16 Jun ini.

Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, setakat ini seramai 119 belia telah ditempatkan di enam buah PPV di negeri ini termasuk di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Menerusi medium sukarelawan itu, katanya, golongan belia yang terkesan dan hilang punca pendapatan berikutan Covid-19 boleh mendapatkan wang menerusi elaun sebanyak RM50 sehari, selain secara tidak langsung memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan belia.

Katanya, sejak permohonan sukarelawan itu dibuka secara dalam talian, seramai 1,437 belia telah mendaftar, bagaimanapun hanya 209 yang telah lengkap menghantar maklumat dalam sistem profil untuk layak bertugas sebagai sukarelawan.

"Saya menggesa golongan belia terutama yang menganggur untuk mengambil peluang menyertai MyVac memandangkan akan ada penambahan PPV di negeri ini tidak lama lagi.

"Kita berharap mereka dapat melengkapkan maklumat permohonan itu selain ada tapisan dan terdapat kriteria-kriteria yang ditetapkan sebelum mereka layak dipilih sebagai sukarelawan MyVac," katanya selepas meninjau PPV di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini pada Selasa.

Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, setiap sukarelawan yang dilantik tidak ketinggalan untuk menerima vaksin, dalam masa sama membantu petugas barisan hadapan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Saya juga menyambut baik sekiranya ada Kompleks Belia dan Sukan di negeri ini yang boleh dijadikan PPV bagi melancar serta menggiatkan lagi proses PICK di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, graduan ijazah perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), N Nagakavin Amutha, 25, berkata, peluang menjadi sukarelawan dapat mengisi masa lapangnya sementara menunggu panggilan penempatan selepas berjaya menamatkan pengajian pada Disember lalu.

Katanya, sekurang-kurangnya pengetahuan dalam bidang perubatan dapat dimanfaatkan dan dikongsi bersama memandangkan masih ada individu yang ragu-ragu untuk menerima vaksin Covid-19.

"Walaupun mereka sudah datang di PPV, tetapi masih ada yang ragu-ragu untuk menerima vaksin. Kita boleh berikan penerangan lebih jelas, secara tidak langsung menggalakkan kita untuk berbuat kebajikan dan kebaikan," katanya.