Rayuan Abdul Azeez batalkan tuduhan rasuah didengar 6 September

Abdul Azeez
Abdul Azeez
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 September.

Ia disahkan oleh peguamnya Amer Hamzah Arshad apabila dihubungi Bernama pada Selasa.

Pengurusan kes berhubung perkara itu didengar pada Selasa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan sedemikian selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Dia menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Selain itu, Abdul Azeez juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abang kepada Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif, yang pada mulanya didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya, didakwa menerima RM4 juta sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Abdul Latif, 63, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada Februari selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan. - Bernama