Dera: Mangsa cedera di kepala, pecah limpa

Othman
A
A

KUANTAN - Kematian kanak-kanak disyaki mangsa dera, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, disebabkan kecederaan berganda di kepala dan pecah limpa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, sebab kematian mangsa dari Kampung Padang Rumbia Pekan itu dikenal pasti hasil laporan bedah siasat yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga kira-kira jam 4.15 petang tadi untuk dikebumikan.

"Susulan kejadian, ibu mangsa berusia 25 tahun dan bapa tiri, 54 ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari ini," katanya.

Muhammad Hafiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan, petang semalam.

Mangsa sebelum itu dibawa ke klinik berkenaan oleh ibu bapanya untuk menerima rawatan.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Pemeriksaan awal doktor dapati mangsa disyaki didera apabila terdapat kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk proses bedah siasat,.

Siasatan awal polis setakat ini mendapati bapa tirinya mengaku ada memukul mangsa pada hari kejadian.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.