Sakit buah pinggang, tidak patah semangat sambung pengajian

Muhammad Zulkifli menjalani rawatan CAPD sambil mengikuti kelas online di bahagian ruangan kecil yang dibuat khusus oleh ayahnya di rumah mereka di Kampung Apa-apa, Pasir Mas.
Muhammad Zulkifli menjalani rawatan CAPD sambil mengikuti kelas online di bahagian ruangan kecil yang dibuat khusus oleh ayahnya di rumah mereka di Kampung Apa-apa, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Serangan penyakit buah pinggang tahap lima dialami secara 'mengejut' tidak mematahkan semangat seorang pelajar tahun empat jurusan perubatan untuk menamatkan pengajiannya yang masih berbaki setahun lagi.

Muhammad Zulkifli Ayub, 24, berkata, walaupun berdepan sedikit kepenatan menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD) sebanyak empat kali sehari namun ia tidak mengganggu tumpuannya sebagai seorang mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Pahang.

"Biasanya rawatan CAPD ini, saya akan lakukan sebelum keluar ke kelas untuk mengikuti kuliah. Jika ada kuliah pada waktu tengah hari dan petang saya akan pulang ke kolej sebentar untuk membuat rawatan pada tengah hari serta petang dan proses terakhir pada malam," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Apa-Apa, di sini pada Selasa.

Menurutnya, selepas selesai menjalani CAPD selama satu jam, dia akan kembali semula ke kelas untuk menyambung sesi kuliah.

Menurutnya, walaupun rawatan itu sedikit memenatkan namun dia cukup bertuah apabila mendapat sokongan daripada rakan-rakan kuliah yang turut membantu memudahkan urusan hariannya.

Dia berkata, sokongan dan doa daripada ahli keluarga serta rakan-rakan menjadi azimat kepadanya untuk melawan penyakit itu seterusnya menamatkan pengajian perubatan dengan jayanya.

Muhammad Zulkifli berkata, setiap bulan dia memerlukan belanja sekitar RM200 bagi membeli air dan peralatan untuk rawatan CAPD itu.

"Bagaimanapun biasiswa yang diperoleh sebanyak RM10,000 setahun hanya cukup untuk menampung perbelanjaan pelajaran di UIAM.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini saya menjalani rawatan CAPD di rumah selepas kerajaan memberikan kebenaran kepada pelajar universiti untuk pulang ke rumah masing-masing sebelum Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu," katanya.

Menurutnya, sepanjang sebulan berada di rumah, dia kini menjalani rawatan CAPD di bahagian ruangan kecil yang dibuat khusus oleh ayahnya, Ayub Abdul Ghani, 58, yang merupakan seorang tukang rumah.

Katanya, walaupun agak panas sedikit serta sempit namun anak keenam daripada tujuh beradik itu tetap sabar bagi memastikan rawatan berjalan seperti biasa dan dapat meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Muhammad Zulkifli berkata, dia kini memasang impian untuk memiliki sebuah bilik yang selesa bagi menjalani rawatan CAPD sepanjang berada di rumah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB milik Muhammad Zulkifli Ayub atas nombor 7618760407.