Sultan Selangor kecewa dengan golongan antivaksin

Sultan Selangor berharap agar rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin.
Sultan Selangor berharap agar rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahir kekecewaan baginda terhadap kewujudan golongan antivaksin yang dilihat mempengaruhi rakyat di negeri tersebut.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah agar rakyat negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong pihak terlibat dalam perkara berkaitan pemberian vaksin Covid-19.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin juga percaya suntikan vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti daripada bahaya wabak berkenaan.

"Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan berdegil untuk menerima vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekali gus meletakkan negara dalam krisis lebih meruncing dan merbahaya," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin turut terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bahawa sehingga 1 Jun, Selangor hanya menerima 615,20 dos vaksin dan bukannya 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Sultan Sharafuddin berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepatkan dan menambah bilangan dos vaksin berkenaan untuk rakyat Selangor.

"Baginda bertegas adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk Selangor yang berjumlah 6.5 juta orang.

"Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa Selangor merupakan penyumbang terbesar bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Sultan Sharafuddin juga bertitah agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini ditambah khususnya melibatkan kawasan luar bandar.

"Baginda turut memuji langkah kerajaan Selangor yang secara agresif melakukan ujian saringan secara percuma untuk rakyat negeri ini," katanya.