PKPD: Dua penduduk cuba lolos dikompaun RM5,000

Polis ingatkan penduduk di 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang yang dikenakan PKPD supaya tidak cuba keluar daripada kawasan itu tanpa kebenaran. Foto fail.
Polis ingatkan penduduk di 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang yang dikenakan PKPD supaya tidak cuba keluar daripada kawasan itu tanpa kebenaran. Foto fail.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis mengingatkan penduduk di 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya tidak cuba keluar daripada kawasan itu tanpa kebenaran.

Ia susulan tindakan seorang lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 23 tahun yang masing-masing dikompaun RM5,000 kerana mengingkari PKPD yang dikenakan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata selain penduduk terlibat tidak dibenarkan keluar, orang ramai juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut hingga pelaksanaan PKPD itu tamat, 17 Jun depan.

"Saya memberi peringatan kepada semua penduduk supaya mematuhi peraturan ditetapkan. Jangan cuba keluar atau masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran kerana semalam terdapat dua penduduk yang telah dikompaun kerana cuba keluar dari kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Anbalagan berkata, lelaki terbabit ditahan pada 7.30 pagi ketika sedang melangkah keluar dari pagar halangan sempadan PKPD di tepi jalan Bayan Lepas dan dia didapati gagal memberikan alasan kukuh sebaliknya hanya memaklumkan ingin keluar daripada kawasan PKPD tersebut sahaja.

Menurutnya wanita itu pula didapati keluar dari halangan sempadan kawasan PKPD dengan melalui jejantas pejalan kaki di Jalan Sultan Azlan Shah, pada 11.45 pagi dengan alasan mahu membeli makanan.

Katanya kedua-dua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 11(3) Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 2021.

Sementara itu, Anbalagan memaklumkan badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan barangan keperluan asas kepada penduduk supaya menyalurkannya menerusi pejabat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk penyelarasan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap penduduk yang terlibat dengan PKPD supaya terus bersabar dan mematuhi semua peraturan dan undang-undang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Pelaksanaan PKPD yang bermula 4 Jun lepas hingga 17 Jun tersebut melibatkan kira-kira 10,000 penduduk di kawasan seluas 35 hektar dengan 2,380 unit kediaman serta 83 premis komersial. - Bernama