X

Kindly register in order to view this article
!

Individu hadir ke PPV tanpa janji temu bakal dikompaun

Dr Bahari
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kompaun bakal menanti mana-mana pihak yang didapati merancang untuk mencuba nasib bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dengan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa sebarang janji temu yang telah ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, peringatan itu dibuat kerana tindakan kumpulan atau individu berkenaan telah menyebabkan kawasan PPV mengalami kesesakan dan menyukarkan proses kawalan keselamatan dilakukan.

Menurutnya, pihaknya kecewa dan kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang bertindak sedemikian.

"Saya ada menerima laporan daripada (pengendali) PPV membabitkan kes individu tanpa janji temu yang berkumpul di pusat vaksin dengan harapan diberi peluang mendapatkan vaksin Covid-19.

“Kita perlu ikut proses yang ditetapkan, bukan boleh datang secara ‘walk-in’ seperti itu. Bila keadaan seperti ini berlaku, petugas di PPV terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa untuk mengarahkan kumpulan atau individu ini beredar dari kawasan (PPV) berkenaan.

“Jadi, untuk kali ini kita memberi amaran dan peringatan terlebih dahulu. Namun, jika perkara ini terus berulang, kita tiada pilihan lain kecuali mengeluarkan kompaun kepada mereka yang sengaja hadir ke PPV tanpa janji temu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menjelaskan, kaedah pengurusan vaksin di semua PPV dilakukan berdasarkan senarai janji temu yang sudah disahkan melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, perkara itu sepatutnya sudah difahami oleh orang ramai secara jelas menerusi platform khusus yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang

"Segala janji temu boleh disemak melalui dua platform iaitu aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang.

"Jika anda belum menerima pengesahan temu janji untuk suntikan vaksin jadi janganlah datang kerana tindakan itu boleh menyebabkan kesesakan. Kita sebenarnya tidak mahu kehadiran terlalu ramai orang di PPV dalam satu-satu masa," katanya

Sehubungan itu, Dr Bahari berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai nama kedua sekiranya individu yang dijadualkan menerima vaksin tidak dapat hadir.

Tegasnya, semua senarai penerima vaksin dan daftar nama kedua akan dihubungi, sekiranya penerima yang dijadualkan tidak hadir.

"Tiada istilah orang ramai mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin kerana kita sudah laksanakan secara sistematik.

"Kita tidak semudah-mudahnya akan melayan permintaan individu yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ kerana semua itu perlu mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!