KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai RM338,576

Iskandar Halim menunjukkan kasut berjenama tiruan yang dirampas pihaknya dalam operasi semalam.
Iskandar Halim menunjukkan kasut berjenama tiruan yang dirampas pihaknya dalam operasi semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai jenis jam tangan, kasut dan selipar tiruan bernilai RM338,576 dalam dua operasi berasingan semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi tersebut disertai 16 anggota bersama pemilik cap dagang bagi tujuan pemeriksaan.

"Kita jalankan operasi khas di Kuala Lumpur dan Johor Bharu di mana premis tersebut adalah stor simpanan barangan tiruan.

"Di Kuala Lumpur kita menyerbu lapan premis di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan jumlah kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama sebanyak 11,883 pasang. Manakala di Johor Bharu pula satu premis dengan 5,786 unit jam pelbagai jenama," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan pihaknya masih menyiasat pemilik premis berkenaan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011 di mana jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, difahamkan barangan yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan atas talian.

Justeru, Iskandar Halim menasihati pengguna supaya meneliti terlebih dahulu apa-apa produk sebelum membelinya bagi mengelakkan dari ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Memang kalau kita lihat barangan tiruan ini seakan-akan asli kerana reka bentuknya hampir sama. Tapi untuk produk tiruan ini, pasti ada kecacatan dari segi pembuatan seperti material dan jahitannya," katanya.