X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir sejuta warga emas telah divaksin

Hampir sejuta warga emas di negara ini telah menerima vaksin Covid-19. Gambar hiasan.- Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Hampir sejuta warga emas di negara ini telah menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masing-masing sekurang-kurangnya satu dos.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Negara, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas adalah seramai 3.5 juta orang.

"Sehingga 31 Mei lalu seramai 2.1 juta atau 60 peratus warga emas telah membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Daripada jumlah itu, 632,519 warga emas telah menerima dos pertama manakala 229,462 lagi telah lengkap menerima dos kedua," katanya.

Rina (tengah) ketika memantau pemberian vaksin kepada warga emas di Pusat jagaan warga emas di Sikamat, Seremban pada Ahad.
Rina (tengah) ketika memantau pemberian vaksin kepada warga emas di Pusat jagaan warga emas di Sikamat, Seremban pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai membuat tinjauan pemberian vaksin kepada warga emas yang mendapat penjagaan dan perlindungan di Rumah Sejahtera Sikamat di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihak kementerian tidak terhenti setakat itu sahaja bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi dan bahaya Covid-19 malah kementerian juga telah merangka beberapa pelan tindakan khusus.

"Selain warga emas pesakit terlantar juga tidak akan ketinggalan untuk menerima vaksin Covid-19.

"Ketika ini kerajaan sedang berbincang bagaimana kita hendak 'reach out' kepada pesakit terlantar yang berada di rumah supaya mereka ini juga dapat diberikan vaksin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, di Negeri Sembilan sedang berlansung proses pemberian vaksin yang pertama melibatkan 35 pusat jagaan warga emas sama ada dibawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada Ahad.

"Proses pemberian vaksin kepada penghuni pusat jagaan warga emas ini dijangka selesai dalam tempoh dua minggu yang turut melibatkan petugas pusat jagaan tersebut.

"Sehingga kini, 300 daripada 500 penghuni pusat jagaan warga emas seluruh negara telah selesai menerima vaksin sekurang-kurangnya dos pertama," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!