DBKL tetap urus sendiri Bazar Ramadan 2019

Khalid Samad
Khalid Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tegas dengan keputusan untuk menguruskan sendiri sepenuhnya Bazar Ramadan 2019 walaupun dibantah oleh peniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, beliau percaya dasar baharu itu akan memberi peluang sama rata kepada semua peniaga selain menghapuskan monopoli dan budaya ‘Ali Baba’ dalam sektor itu.

“Banyak peniaga membantah kerana dasar baharu ini akan meruntuhkan rangkaian kerja sedia ada di antara mereka dan penganjur sebelum ini.

“Mereka biasanya mengawal bilangan lot dan yang paling membimbangkan ialah kami dapat tahu berlaku banyak kes kenaikan harga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Hartanah Bersama TRX, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kadar kenaikan sewa lot, Khalid berkata: “Kami diberitahu, saya tidak boleh buktikan dan saya rasa tiada siapapun boleh buktikan. Dalam sesetengah kes, mereka sewakan pada kadar RM30,000 satu lot. Itu bukan kadar yang dikenakan DBKL iaitu sekitar RM500.”

“Ini bukan melibatkan satu pihak sahaja tetapi beberapa pihak iaitu A akan sewakan kepada B, B sewakan kepada C,” jelasnya.

Khalid berkata permohonan lesen dalam talian yang baru diperkenal itu akan memudahkan mereka mengenal pasti serta membuka peluang kepada sesetengah kumpulan minoriti seperti orang kurang upaya dan ibu tunggal bagi memastikan mereka tidak dipinggirkan.

Media melaporkan DBKL membuka permohonan lesen dalam talian untuk bazar Ramadan tahun ini pada 15 Feb lalu bagi mengendalikan sepenuhnya bazar tanpa campur tangan penganjur luar seperti badan bukan kerajaan, persatuan dan individu.

Artikel Berkaitan:

Langkah baharu itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota persatuan peniaga yang mahu cara lama penganjuran bazar Ramadan dikekalkan. – Bernama