Labuan gunakan semula asrama ILP sebagai pusat kuarantin

Asrama ILP akan digunakan semula sebagai pusat kuarantin risiko rendah ketiga tidak lama lagi, berikutan peningkatan dalam kes Covid-19 di pulau bebas cukai tersebut.
Asrama ILP akan digunakan semula sebagai pusat kuarantin risiko rendah ketiga tidak lama lagi, berikutan peningkatan dalam kes Covid-19 di pulau bebas cukai tersebut.
A
A
A

LABUAN - Asrama Pusat Latihan Industri Labuan (ILP) akan digunakan semula sebagai pusat kuarantin risiko rendah ketiga tidak lama lagi, berikutan peningkatan dalam kes Covid-19 di pulau bebas cukai tersebut.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata, pusat kuarantin yang akan dibuka tidak lama lagi itu telah pun diluluskan kerajaan dan dijangka memulakan operasinya bulan ini.

“Kami melihat kepada keperluan untuk membuka semula pusat kuarantin di pusat latihan itu selepas kes positif melonjak kepada tiga digit sejak beberapa hari lepas.

“Asrama ILP merupakan pusat kuarantin Covid-19 pertama di Labuan dan disebabkan ia berdekatan dengan Hospital Nucleus Labuan, kami membuat keputusan untuk menggunakannya semula,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Pusat kuarantin ILP boleh menempatkan sekurang-kurangnya 168 orang pesakit pada ketika ia mula digunakan Mac tahun lepas.

Rithuan berkata, para pelajar yang pada ketika ini tinggal di asrama berkenaan akan dipindahkan ke asrama di Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

“Sebaik dipindahkan ke asrama KML, mereka akan dihantar pulang ke rumah masing-masing di Sabah secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan masih membincangkan mengenai peruntukan untuk pusat kuarantin ILP itu.

Artikel Berkaitan:

Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19 hari ini, dengan 230 kes berbanding 63 kes pada Khamis.

Sehingga kini 4,335 kes dicatatkan di Labuan dan dengan tiga kes kematian hari ini, jumlah kematian akibat Covid-19 di Labuan kini 34. - Bernama