X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki terlibat penipuan surat rentas negeri direman 4 hari

Lelaki berkenaan (depan) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan penipuan surat rentas negeri/daerah bagi mengaut keuntungan.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengendali permainan dalam talian direman empat hari kerana disyaki terlibat dalam penipuan surat kebenaran rentas negeri kepada orang ramai melalui aplikasi sosial.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 23 tahun dari Melaka itu dikeluarkan Majistret Che Rohana Ismail di Mahkamah Sungai Petani pada Jumaat.

Difahamkan, lelaki terbabit ditahan di Melaka pada Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/ Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan maklumat, lelaki terbabit dikatakan cuba melakukan penipuan dengan menawarkan surat bagi membolehkan aktiviti rentas negeri dan daerah dilakukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengaut keuntungan.

Tawaran dibuat melalui status yang dimuat naik menerusi aplikasi WeChat dengan memaparkan surat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang dipalsukan.

Laporan media berbahasa Mandarin pada 1 Jun lalu melaporkan terdapat tawaran dibuat seorang individu melalui aplikasi sosial kepada orang ramai yang ingin rentas negeri dan daerah.

Laporan turut memaparkan surat yang ditandatangani Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuala Muda, Kedah bertarikh 12 Mei 2021 memaklumkan pemilik surat perlu hadir ke IPD terbabit dengan segera bagi membantu siasatan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!