X

Kindly register in order to view this article
!

‘Apabila tiada pekerjaan, saya tidak mampu bayar pinjaman’

A
A

[SIRI 2] SATU kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar.

Saya selalu menolak untuk membuat pinjaman kerana saya tiada keperluan untuk memakai duit. Tetapi ibu saya jatuh sakit dan memerlukan pembedahan jantung. Dia tiada insurans perubatan dan perlukan bantuan untuk membayar kos rawatannya sebanyak RM20,000.

Jadi, akhirnya saya membuat keputusan untuk mengambil pinjaman daripada ejen bank yang selalu berlegar-legar di sekitar tempat kerja saya.

Pada mulanya, saya bercadang untuk mengambil pinjaman sebanyak RM30,000 untuk membayar kos pembedahan ibu saya dan menggunakan bakinya untuk membayar pinjaman koperasi saya yang sudah bertambah daripada RM5,000 kepada RM10,000. Dengan cara itu, saya akan ada hanya satu pinjaman untuk dibayar balik setiap bulan.

Tetapi apabila saya berbincang dengan salah seorang ejen bank, atas nasihat ejen berkenaan saya terpaksa mengambil satu pinjaman yang berjumlah sekurang-kurangnya RM134,000 untuk membayar balik semua pinjaman sedia ada dan saya masih akan ada baki sebanyak RM25,000 dalam tangan.

Saya tidak tertanya-tanya mengapa saya akan menerima wang yang sedikit berbanding jumlah pinjaman yang saya ambil.

Pada waktu itu, saya lebih khuatir tentang sama ada pinjaman saya akan diluluskan memandangkan gaji saya cuma RM1,700 ketika itu.

Jadi, apabila ejen bank menghubungi saya beberapa minggu kemudian untuk memaklumkan yang pinjaman saya telah diluluskan, saya hanya memikirkan bahawa saya akan mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos pembedahan ibu saya, perbelanjaan saya yang lain dan masih ada lagi baki yang boleh saya gunakan.

Hanya di kemudian hari, apabila saya terpaksa membayar RM1,000 sebulan untuk pinjaman itu, saya sedar betapa susahnya untuk hidup dengan baki gaji RM700 sebulan.

Seminggu selepas mendapat pinjaman, saya mengambil cuti dan terbang balik ke Bintulu untuk membantu menjaga ibu saya. Saya berasa bangga kerana dapat membiayai kos pembedahan tersebut.

Tetapi malangnya ibu saya tidak kembali sihat, sebaliknya kesihatannya terus merosot. Selepas menjalani pembedahan, ibu saya mengalami strok dan tidak boleh berjalan lagi.

Saya terpaksa mengambil cuti dengan kerap, hinggalah cuti tahunan saya habis digunakan. Memandangkan saya terpaksa terus berada di Bintulu untuk menjaga ibu saya, bos menasihatkan saya langkah yang terbaik adalah dengan berhenti kerja.

Apabila tiada pekerjaan, saya tidak lagi dapat membuat bayaran balik pinjaman.

Dulu, apabila saya tidak mempunyai wang untuk membayar deposit sewa, membeli motosikal dan membiayai kos pembedahan ibu saya, saya ingatkan masalah saya ketika itu memang besar.

Tetapi apabila saya berhenti membuat bayaran balik pinjaman, itu sebenarnya permulaan masalah saya yang sebenar.

Nak tahu apa yang terjadi seterusnya? Apa yang anda perlu tahu kalau anda baru mula bekerja atau berpindah ke tempat baharu?

Jangan lupa ikuti bahagian seterusnya esok.

* Multiply ialah satu platform dalam talian yang menyajikan maklumat yang mudah difahami tentang topik kewangan peribadi. Multiply, satu inisiatif bukan untung oleh Creador Foundation membawakan anda isi kandungan yang percuma dan neutral, hasil daripada kajian teliti yang telah kami jalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Bagaimana saya menyelamatkan diri daripada menjadi muflis'

‘Apabila tiada pekerjaan, saya tidak mampu bayar pinjaman’

‘Saya tak sedar jumlah hutang saya terus bertambah’

‘Bincang dengan setiap bank henti proses kebankrapan saya’


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!