Petronas Dagangan rekod untung RM1.14 bilion, tertinggi sejak 2021

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat keuntungan tertinggi sejak 2021 menutup FY2025 dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM1.14 bilion didorong oleh jualan bahan api lebih tinggi dan peningkatan penggunaan digital.
Bagi suku berakhir 31 Disember 2025, PDB merekodkan hasil sebanyak RM10.6 bilion meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disebabkan kenaikan lapan peratus dalam jumlah jualan hasil daripada jualan Jet A1 yang lebih tinggi dan pertumbuhan berterusan Mogas susulan program BUDI95.
PAT suku tahunan meningkat kepada RM273.3 juta, naik RM12.9 juta tahun ke tahun apabila permintaan yang meningkat membantu mengimbangi pergerakan harga bahan api yang kurang memihak.
Bagi tempoh 12 bulan, walaupun harga jualan purata lebih rendah, PDB mencapai hasil sebanyak RM38.3 bilion, meningkat satu peratus berbanding FY2024.
PAT juga meningkat dua peratus kepada RM1.14 bilion iaitu peningkatan RM19.9 juta berbanding tahun lalu.
Jumlah jualan tahunan mencapai paras rekod tertinggi sebanyak 17.1 bilion liter, didorong oleh permintaan kukuh bagi Jet A1 dan Diesel Komersial.
Prestasi kukuh tersebut menegaskan keupayaan syarikat menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah, mengekalkan pertumbuhan mampan dan memenuhi keperluan pelanggan.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, FY2025 merupakan tahun penentu bagi PDB dan syarikat berbesar hati dapat memainkan peranan perintis dalam menyokong program BUDI95 kerajaan.
“Melalui aplikasi Setel, kami memastikan pengesahan MyKad yang mudah bagi kelayakan BUDI95, membolehkan akses selamat dan mudah untuk rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif nasional.
“Melangkah ke tahun 2026, pasukan kami penuh dengan tenaga dan optimisme, membina momentum daripada 2025 yang luar biasa.
“Kami teruja untuk memperluas portfolio dengan penambahan baharu seperti kenderaan dua roda elektrik Blueshark beserta restoran perkhidmatan segera francais pertama kami yang menampilkan jenama terkenal dari Afrika Selatan iaitu Steers dan Debonairs, langkah terbaharu kami dalam sektor bukan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Azrul, tahun 2026 juga merupakan tahun penting bagi Malaysia.
"Dengan Visit Malaysia 2026 memacu aktiviti pelancongan di seluruh negara, pelaburan infrastruktur berterusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta tumpuan kukuh kerajaan terhadap kemampanan dan peralihan tenaga, kami melihat peluang bermakna untuk menyokong keutamaan nasional sambil mencipta nilai untuk pelanggan dan rakan kongsi kami.
“PDB turut berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada permintaan perjalanan yang lebih tinggi, peningkatan jaringan jalan raya dan peralihan beransur-ansur ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih,” katanya.
Dalam pada itu, prestasi PDB pada 2025 didorong kehadiran yang diperkukuh dalam kawasan pertumbuhan tinggi dan inisiatif perintis. Setakat ini, PDB mengendalikan rangkaian terbesar sebanyak 1,110 stesen di seluruh negara.
Bahagian komersial pula memperkenalkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) campuran tempatan pertama Malaysia dan memperoleh pensijilan ISCC CORSIA.
Setel, platform digital bersepadu pertama PDB memainkan peranan penting dalam pelancaran BUDI95 dengan pengaktifan pam yang lancar dan pembayaran selamat, sekali gus memacu penerimagunaan digital kepada 11 juta pengguna di seluruh negara.
Sementara itu, inisiatif kemampanan dan komuniti kekal sebagai teras pelan jangka panjang syarikat, di mana ia telah memasang sistem solar di 101 stesen sekali gus menyumbang kepada pengurangan pelepasan operasi.
Inisiatif Minyak Masak Terpakai (UCO) PDB pula telah mencapai 100 stesen di seluruh negara, mengumpul 749 tan dan menjana pulangan RM2.2 juta untuk lebih 332,000 penerima manfaat.
Secara kolektif, inisiatif tersebut memperkukuh sumbangan PDB kepada matlamat ekonomi dan kemampanan Malaysia yang lebih luas.
Pada masa sama, syarikat meneruskan rentetan kemenangan di Putra Brand Awards untuk tahun ke-16, memenangi Anugerah Platinum dalam kategori Automotif – Bahan Api, Pelincir & Aksesori serta Most Enterprising Brand of the Year.
Syarikat dilapor kekal memberi tumpuan kepada disiplin kos, kecekapan operasi dan penciptaan nilai, membantu menampan tekanan luaran dan menyokong keputusan akhir tahun yang stabil.
PDB juga telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 26 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 31 Disember 2025.
Bagi tahun kewangan 2025, syarikat telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 112 sen sesaham biasa, yang mewakili nisbah pembayaran 100 peratus.
Ringkasan AI
- Petronas Dagangan Berhad mencatat keuntungan tertinggi sejak 2021 dengan PAT sebanyak RM1.14 bilion untuk FY2025
- Hasil bagi suku berakhir 31 Disember 2025 adalah sebanyak RM10.6 bilion, meningkat 18 peratus dari tahun sebelumnya
- Peningkatan hasil disebabkan oleh peningkatan jualan Jet A1 dan program BUDI95
- Setel memainkan peranan penting dalam pelancaran BUDI95, meningkatkan penerimagunaan digital kepada 11 juta pengguna
- Inisiatif kemampanan dan komuniti termasuk pemasangan sistem solar di 101 stesen dan inisiatif Minyak Masak Terpakai mencapai 100 stesen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
