'Bagaimana saya menyelamatkan diri daripada menjadi muflis'

No Image Caption
A
A
A

[SIRI 1] SATU kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar.

19 Februari 2004. Satu tarikh yang membanggakan untuk keluarga saya. Itu tarikh yang tertera di atas tiket penerbangan saya, Aliff*, anak lelaki sulung dalam keluarga, yang akan meninggalkan Bintulu, Sarawak dan memulakan kehidupan baharu mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Ketika itu umur saya 26 tahun. Saya telah berjaya mendapat kerja sebagai Polis Bantuan di Kuala Lumpur.Mendapat pekerjaan di Semenanjung ialah satu peluang yang besar bagi saya – bukan saja untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi juga supaya saya dapat mengirim wang kepada ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal. Dia membesarkan saya dan adik-beradik saya seorang diri.

Sebagai Polis Bantuan, saya termasuk dalam golongan penjawat awam. Saya berasa bangga dapat berkhidmat dengan kerajaan. Seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, saya percaya bekerja dengan kerajaan ialah satu tugas terhormat. Pada masa itu saya belum sedar bahawa ramai orang suka mengambil kesempatan terhadap penjawat awam seperti saya disebabkan gaji tetap yang kami terima.

Sekarang sudah bulan Mei 2021 dan usia saya akan menjangkau 44 tahun. Dulu saya yakin berpindah ke Semenanjung akan mengubah hidup saya, tetapi saya tidak sangka yang kehidupan saya akan menjadi bertambah buruk.

Membiayai kehidupan baharu

Saya mula bekerja sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya belum ada tempat tinggal yang tetap dan tiada kenderaan untuk bergerak. Jadi, saya perlu mencari rumah sewa dan membeli motosikal. Untuk sementara waktu, saya menyewa sebuah bilik untuk jangka masa pendek iaitu selama 2 minggu. Jadi saya ada tempoh dua minggu untuk mencari tempat tinggal yang sesuai.

Pada masa itu, saya tidak sedar bahawa perkara utama yang perlu disediakan apabila hendak menyewa bilik ialah wang deposit. Saya tidak tahu bahawa kita perlu membayar sekurang-kurangnya 2.5 bulan wang deposit sewa serta deposit utiliti. Sedikit wang simpanan yang saya bawa dari Bintulu sudah hampir kehabisan. Tak mungkin saya boleh meminjam begitu banyak wang daripada ahli keluarga atau kawan-kawan saya untuk membayar deposit rumah.

Artikel Berkaitan:

Saya juga menghadapi masalah untuk membeli motosikal. Saya telah merancang untuk mengambil pinjaman yang saya akan bayar balik setiap bulan dengan menggunakan duit gaji saya. Tetapi pihak bank meminta saya menunjukkan slip gaji selama 3 bulan, yang saya belum ada. Jadi, permohonan pinjaman saya telah ditolak. Pada hari ketiga saya bekerja, saya berbual dengan seorang rakan sekerja dan menceritakan masalah saya kepada dia. Kami cepat menjadi kawan kerana dia pun berasal dari Sarawak seperti saya. Katanya saya tak perlu bimbang.

Oleh sebab kami adalah penjawat awam, kami kebiasaannya sukar kehilangan kerja, jadi kami boleh dapatkan pinjaman daripada koperasi kredit dengan mudah. Bayaran balik bulanan akan ditolak terus daripada gaji kami, jadi pihak koperasi ada jaminan bahawa bayaran balik akan dibuat setiap bulan, asalkan kami tetap bekerja.

Sejurus mula bekerja, saya telah mengambil pinjaman pertama daripada koperasi kredit berjumlah RM5,000. Tempoh pinjamannya 2 tahun, dan saya perlu membayar balik RM245 sebulan. Ketika itu, saya tidak banyak pengetahuan tentang pinjaman dan hutang. Saya hanya fikirkan yang saya boleh mendapat wang sebanyak RM5,000, jadi saya boleh beli motosikal yang berharga RM2,500, bayar deposit rumah berjumlah RM1,000, dan masih ada lagi baki wang yang tinggal. Dengan gaji sebanyak RM1,300, saya anggap bayaran RM245 sebulan untuk pinjaman tersebut tak akan menjadi satu masalah.

Selama 3 tahun saya menyewa bilik yang sama dan menaiki motosikal yang sama. Gaji saya sudah mencecah RM1,700. Tapi saya tidak berhati-hati dalam perbelanjaan saya. Jadi, kadang-kadang saya tak ada wang yang cukup untuk membayar balik pinjaman saya pada hujung bulan. Saya juga telah mengambil pinjaman lain daripada koperasi kredit untuk membayar kos membaiki motosikal dan menampung beberapa perbelanjaan lain.

Di tempat saya bekerja, setiap hari pasti ada ejen bank yang datang untuk menawarkan pinjaman kepada saya dan rakan-rakan sekerja saya. Ceritanya selalu sama sahaja: jumlah pinjaman yang besar, senang dapat kelulusan, tak banyak dokumen diperlukan.

Jangan lupa ikuti bahagian seterusnya esok.

* Multiply ialah satu platform dalam talian yang menyajikan maklumat yang mudah difahami tentang topik kewangan peribadi. Multiply, satu inisiatif bukan untung oleh Creador Foundation membawakan anda isi kandungan yang percuma dan neutral, hasil daripada kajian teliti yang telah kami jalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Bagaimana saya menyelamatkan diri daripada menjadi muflis'

‘Apabila tiada pekerjaan, saya tidak mampu bayar pinjaman’

‘Saya tak sedar jumlah hutang saya terus bertambah’

‘Bincang dengan setiap bank henti proses kebankrapan saya’